- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Menyuburkan Semangat Perpaduan Murid

Must read

Sumbangan : George
Langat Ngau

Proram Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Peringkat Negeri
Sarawak 2008

Negara Malaysia merupakan negara yang bertuah kerana mempunyai masyarakat
majmuk yang dapat hidup dalam keadaan aman, rukun dan bertolak ansur. Semangat
perpaduan yang baik ini bukan sahaja dapat dilihat di kalangan orang dewasa
dalam masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan kebudayaan, malah ianya juga
telah mulai diserapkan dan disemaikan kepada golongan muda iaitu seawal
kanak-kanak lagi.

Agenda perpaduan dalam negara kita ini amat dititikberatkan oleh kerajaan
kerana menyedari kepentingan perpaduan untuk kemajuan dan pembangunan
negara.Maka dengan itu, dalam konteks menjadikan Malaysia sebuah negara maju
menjelang tahun 2020, perpaduan dan integrasi nasional diutamakan sebagai
elemen penting bagi memastikan negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum
seperti Malaysia akan terus maju dalam suasana yang stabil dan harmoni.Lantaran
dengan kesedaran ini, elemen perpaduan dan integrasi adalah teras dalam Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 sebagai fokus utama dalam Teras
‘Membina Negara Bangsa’.

Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) merupakan salah satu program yang akan dapat
merealisasikan hasrat murni kerajaan ini. Program RIMUP telah diperkenalkan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan untuk mempertingkatkan dan
menyuburkan semangat kerjasama antara kaum sebagai pemangkin kepada perpaduan
nasional.

Bagi memenuhi salah satu matlamat dalam sistem pendidikan negara iaitu
integrasi nasional dan perpaduan antara etnik yang merupakan Teras 1 : Membina
Negara Bangsa dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Jabatan Pelajaran
Negeri Sarawak telah menganjurkan program RIMUP peringkat negeri Sarawak pada
23-24 Mei 2008 bertempat di Pantai Bungai, Bekenu, Miri, Sarawak. Program RIMUP
kali ini berkonsepkan program ‘Makan Tahun’ dengan slogannya ‘Maitah Makan
Tahun (Marilah Makan Tahun)’ iaitu merupakan tradisi etnik Kedayan dengan
menerapkan semangat bantu-membantu dan persefahaman antara satu dengan yang
lain.

Memandangkan sekolah merupakan salah satu institusi yang penting kerana
mampu menjadi agen berkesan ke arah menyatupadukan murid-murid pelbagai kaum
maka program RIMUP ini amat sesuai dijalankan sebagai program penting sekolah demi
menyemai semangat perpaduan dan integrasi kaum di kalangan murid-murid.Antara
objektif program RIMUP Peringkat Negeri Sarawak kali ini adalah:

  1. Mewujudkan hubungan mesra di kalangan murid, guru dan masyarakat.
  2. Memperkenalkan budaya setempat dan memupuk budaya semangat bekerjasama.
  3. Memupuk semangat jati diri di kalangan pelajar yang berbilang bangsa, agama
    dan budaya.
  4. Melahirkan semangat cinta akan negara.

Bagi memenuhi dan mencapai objektif RIMUP Peringkat Negeri Sarawak kali
ini, maka seramai 210 orang murid dan 41 orang guru pengiring telah menyertai
program ini.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini dijalankan adalah
seperti pertandingan ‘Menuwu Hatap’, pertandingan ‘Mungkus Kelupis’ Permainan
tradisional, poco-poco, persembahan kebudayaan pelbagai etnik, acara bermukun
dan pemeran.

Antara sekolah yang telah mengambil bahagian dalam program RIMUP kali ini
adalah SK Bekenu, SJK (C) Chung Hua Sungai Lumut, SK Kampung Bulau, SK Kampung
Selanyau, SK Beliau Ahad, SK Beliau Isa, SK Kampung Masjid, SK Kampung Bungai,
KS Keluru Tengah, SK Rumah Essau, SK Kampung Angus, SK Tawakal Satap, SK Ulu
Satap, SJK (C) Chung Hua Sibuti, SK Kuala Sibuti, SK Kampung Subak, SK Kelapa
Sawit No.1, SK Kita, SJK (C) Chee Mung, SK Kampung Beraya dan 10 orang peserta
yang terpilih dari sekolah-sekolah di semenanjung turut menyertai program ini.

Acara penutupan rasmi program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)
peringkat negeri Sarawak telah disempurnakan oleh Dr.Hj.Julaihi Bin Hj.Bujang
(Pengarah Pelajaran Sarawak).Turut hadir dalam majlis penutupan rasmi program
ini adalah En.Abdul Rahim Bin Hj.Mohidin (Penolong Pengarah SPPK,Bahagian
Sekolah,KPM), Pn.Rosnani Bt.Hj.Yunus (Pegawai Pelajaran Gabungan Miri), Ketua
Kampung dan JKKK Kampung Tanjung Bungai, Kampung Peliau, Kampung Gatas, Kampung
Jambu dan Kampung Mumong serta Guru Besar dan Pengetua sekolah di Bahagian Miri
ini.

Dengan adanya program RIMUP ini akan dapat mengeratkan hubungan yang baik
bukan sahaja di kalangan warga pendidikan tetapi juga masyarakat setempat.
Rangkaian persefahaman dan kerjasama yang erat antara sekolah, rumah dan
komuniti telah dapat membantu menjayakan program RIMUP ini. Semoga pelaksanaan program RIMUP
sebegini akan dapat memberi manfaat kepada pembentukan keperibadian mulia di
kalangan generasi muda yang merupakan pewaris masa depan negara Malaysia.

Info: Makan Tahun

Setiap rumpun bangsa di Sarawak ini mempunyai adat dan budayanya yang
tersendiri. Budaya ini boleh berbentuk majlis kenduri, pakaian, tarian dan
sebagainya. Begitu juga dengan kaum Kedayan. Antara budaya kaum Kedayan yang
tidak terdapat pada kaum lain ialah majlis kenduri yang dinamakan “Makan
Tahun”.

Majlis ini dinamakan majlis ‘Makan Tahun’ kerana ia diadakan setahun sekali
iaitu setelah selesai menuai padi antara bulan Mei hingga Jun. Bagi kaum
Kedayan, majlis ini diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah
S.W.T. atas pemberian rezeki tersebut. Dalam pada itu, jasa dan sumbangan
orang-orang tua yang sudah meninggal juga tidak dilipakan. Untuk mengenang jasa
mereka, maka ‘tahlil arwah’ mesti diadakan bagi mendoakan kesejahteraan roh
orang-orang yang telah meninggal. Dalam majlis ini, ada beberapa jenis makanan
yang mesti ada. Antaranya ialah Kelupis, Pinyaram, Wajit, Hinti (Kelapa Parut)
dan Telur Dadar serta Nasi Kunyit.

Bagaimanapun, majlis ini tidak ketinggalan daripada mengalami beberapa
perubahan terutama sekali dari segi penggunaan bahan seperti alat pengukur
kelapa kepada pengukur mesin kelapa, tali pengikat Kelupis daripada Tigis
kepada tali Nylon dan lain-lain.

Majlis ‘Makan Tahun’ yang diadakan menekankan
konsep gotong-royong dan bekerjasama. Setiap penduduk kampung akan sama-sama
menyumbangkan bahan-bahan tertentu seperti yang telah diputuskan dalam
musyawarah di peringkat kampung. Biasanya, selain daripada penduduk kampung
tersebut yang menghadiri majlis berkenaan, penduduk kampung lain juga akan
dijemput sama untuk memeriahkan lagi majlis ‘Makan Tahun’ tersebut. Begitulah
sebaliknya jika kampung lain yang mengadakannya. Semangat bekerjasama dan
saling bantu-membantu sentiasa dipamerkan dalam tempoh persiapan dan persediaan
majlis ‘Makan Tahun’ ini dijalankan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article