- Advertisement -
4,900
published news
and counting

Penerapan Elemen ESG dalam Pelaksanaan Projek Kendalian JKMS

Must read

Penilaian ESG sering digunakan oleh organisasi, pelabur, dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan bahawa entiti tersebut bukan sahaja mengutamakan keuntungan kewangan tetapi juga bertanggungjawab dalam aspek sosial dan alam sekitar.

Penilaian ESG semakin menjadi tumpuan dalam dunia perniagaan dan organisasi, termasuk sektor Kebajikan dimana ia melibatkan tiga elemen penting iaitu Alam Sekitar (Environmental), Sosial (Social), dan Tadbir Urus (Governance).

Menerapkan elemen-elemen ini dengan cekap bukan sahaja meningkatkan keberkesanan organisasi tetapi juga memperkukuhkan reputasi dan kesan positif terhadap masyarakat.

Demikian dijelaskan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyrakat Sarawak (JKMS), Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyrakat Sarawak (JKMS), Tuan Haji Semawi Bin Haji Mohamad ketika ditemu bual RAKAN Sarawak

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa di Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) turut memanfaatkan prinsip-prinsip ESG dalam menjalankan projek-projek kebajikan mereka dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab.

Dalam konteks ESG, elemen alam sekitar merujuk kepada kesan yang ditinggalkan oleh aktiviti organisasi terhadap bumi dan sumber semula jadi.

JKMS, sebagai sebuah organisasi yang berperanan dalam kebajikan, turut memberikan penekanan terhadap pengurangan impak alam sekitar dalam setiap pelaksanaan projek mereka.

Sebagai contoh, JKMS telah mengambil langkah proaktif dalam mengurangkan penggunaan sumber semula jadi melalui penggunaan sistem atas talian seperti e-bantuan, Senior Citizen Health Benefit (SCHB) dan sebagainya untuk memudahkan urusan tanpa melibatkan banyak penggunaan kertas.

Permohonan Senior Citizen Health Benefit (SCHB) juga melalui sistem untuk memudahkan urusan tanpa melibatkan banyak penggunaan kertas

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran tetapi juga mengurangkan sisa kertas yang dihasilkan.

Selain itu, JKMS juga memupuk budaya inovasi yang mesra alam di institusi-institusi di bawah seliaannya, seperti Rumah Seri Kenangan Kuching (RSK).

Di sini, pihak institusi digalakkan untuk menghasilkan alat menggunakan bahan terpakai dan terbuang dalam projek-projek inovasi sosial.

Pendekatan ini telah berjaya meletakkan RSK Kuching sebagai naib johan dalam kategori Inovasi dan Sosial Reka cipta Institusi pada Hari Inovasi Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia tahun 2024.

Bukan itu sahaja, JKMS turut menjalankan program kesedaran alam sekitar melalui kerjasama dengan agensi luar di bawah program WeCareWeShare.

Salah satu projek yang dijalankan ialah penanaman pokok serta pembinaan edible garden di kawasan institusi, yang memberi peluang kepada komuniti untuk memahami kepentingan alam sekitar dan amalan kelestarian.

Dari aspek sosial, JKMS memberi penekanan kepada konsep inklusiviti dalam setiap perkhidmatan yang disampaikan.

Kesejahteraan setiap golongan sasar adalah keutamaan, termasuklah orang kurang upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan, serta golongan rentan yang masih produktif.

Kesejahteraan setiap golongan sasar adalah keutamaan, termasuklah oOKU, warga emas, kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan, serta golongan rentan yang masih produktif

Bagi golongan OKU dan warga emas, JKMS memastikan bahawa mereka menerima sokongan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Ini termasuk bantuan kewangan, pemeliharaan, perlindungan, serta peluang untuk memperoleh latihan kemahiran yang sesuai bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Selain itu, JKMS juga menyediakan bantuan modal untuk golongan rentan yang berkeinginan untuk memulakan perniagaan.

Melalui program pembangunan ekonomi dan bantuan geran pelancaran sebanyak RM5,000, pihak JKMS memberi peluang kepada mereka untuk membangunkan perniagaan yang dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Program pemantauan selama dua tahun juga disediakan bagi memastikan kejayaan perniagaan tersebut.

Elemen tadbir urus atau governance merujuk kepada bagaimana sesebuah organisasi diurus dan ditadbir, dengan tumpuan kepada ketelusan, akauntabiliti, dan kepatuhan kepada undang-undang.

Di bawah JKMS, tadbir urus yang baik dan berintegriti adalah asas dalam setiap projek yang dilaksanakan.

JKMS memastikan setiap projek dan aktiviti mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan memastikan ketelusan dalam semua proses pelaporan dan pembuatan keputusan.

Amalan ini melibatkan pencegahan rasuah dan anti-rasuah, serta memastikan struktur pengurusan yang efektif.

Sebagai langkah tambahan, JKMS turut melaksanakan latihan berkala mengenai amalan tadbir urus yang baik, yang merangkumi pelbagai topik seperti ketelusan dalam urusan kewangan, pengurusan risiko, dan integriti organisasi.

Penerapan budaya berintegriti dalam kalangan kakitangan dilaksanakan melalui pelbagai program dan latihan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

- Advertisement -

Sebagai langkah pengukuhan lagi, JKMS juga telah mewujudkan Cawangan Integriti Audit dan Naziran yang bertujuan untuk menjalankan inspektorat dan naziran berkala.

Ini membantu memastikan setiap projek yang dijalankan memenuhi standard etika dan integriti yang tinggi serta memberi impak yang positif kepada masyarakat.

Penerapan elemen ESG dalam pelaksanaan projek kendalian JKMS bukan sahaja membantu organisasi ini dalam meningkatkan keberkesanan operasi tetapi juga memperkukuhkan peranan mereka dalam menjaga kelestarian alam sekitar, memajukan kesejahteraan sosial, dan melaksanakan tadbir urus yang berintegriti.

Melalui pengurangan jejak karbon, amalan mesra alam, penyediaan perkhidmatan inklusif, serta pengurusan yang telus dan beretika, JKMS telah membuktikan bahawa kebajikan dan kelestarian boleh digabungkan untuk memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article