Ia dilihat penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan.
Perkara tersebut merupakan antara 11 resolusi yang diputuskan pada Konvensyen Integriti Nasional 2008 yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 7 November 2008.
Resolusi berkenaan dibacakan oleh Ketua Audit Negara yang juga Ahli Lembaga Pengarah IIM (Institut Integriti Malaysia), YBhg Tan Sri Ambrin Buang yang mewakili Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Senarai lengkap 11 resolusi tersebut adalah:-
- Kepemimpinan dalam institusi Kerajaan dan parti politik harus memberi penekanan kepada penerapan nilai-nilai murni dengan amalan integriti diamalkan melalui kepemimpinan melalui teladan.
- Penambahbaikan secara berterusan di dalam sistem dan prosedur kerja serta peraturan sebagai mekanisme bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi meningkatkan kepercayaan rakyat.
- Pembudayaan integriti harus dilaksana secara holistik menerusi pendidikan bermula di peringkat kanak-kanak dan pelajar sekolah, ibu bapa sebagai role model dan pengukuhan nilai dan moral komuniti serta pengukuhan amalan melalui agama, institusi politik dan komuniti.
- Pembudayaan integriti di kalangan belia harus diberi penekanan dengan memberi peluang kepada mereka terbabit dalam merencana dasar dan hala tuju negara di samping menerapkan amalan dan penghayatan prinsip Rukun Negara.
- Pembudayaan integriti mesti dijadikan amalan utama masyarakat perniagaan secara menyeluruh dengan membangunkan program yang boleh mempromosikan integriti dan perlaksanaan tanggungjawab sosial korporat.
- Skop pembudayaan integriti harus diperluas, bukan sahaja mengatasi masalah rasuah, tetapi mencakupi aspek pembaziran, pembangunan terancang dan pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan.
- Peranan media dalam pembudayaan integriti di dalam masyarakat harus dimantapkan melalui kerjasama yang strategik dengan agensi kerajaan serta bersikap adil serta mengutarakan kepelbagaian pandangan pelbagai pihak.
- Media perlu dilihat sebagai bebas dari pengaruh luar agar masyarakat dapat menerima berita yang dilaporkan benar, tepat dan boleh menjaga perpaduan serta keharmonian kaum.
- Pengamal media perlu meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui pemantapan etika kewartawanan selaras dengan kehendak dan tuntutan masyarakat semasa bagi mendapatkan maklumat lebih telus.
- Integriti negara, rakyat dan masyarakat perlu dipertahankan demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu serta berdaya saing bagi menghadapi cabaran era globalisasi.
- Agenda integriti nasional melalui perlaksanaan Pelan Integriti Nasional perlu dilaksana secara holistik oleh pelbagai sektor masyarakat.
Lebih 500 peserta yang mewakili pelbagai sektor hadir pada konvensyen tersebut yang diadakan bersempena sambutan Hari Integriti Malaysia yang disambut 5 November setiap tahun.
Konvensyen kali ini turut menyaksikan sebanyak empat (4) persidangan bengkel telah diadakan berkaitan dengan agenda integriti, antaranya ”Pengukuhan Perkhidmatan Awam dan Institusi Berintegriti: Langkah ke Hadapan”, ”Etika dan Integriti Media-Informasi dan Komunikasi Berkesan”, Peniaga dan Tanggungjawab Sosial” dan ”Memperkasakan Integriti : Aplikasi Berkesan Membudayakannya.”
Info
- Tanggal 5 November setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Integriti Nasional. Tarikh tersebut dipilih mengambil bersempena tarikh di mana penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Pengubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) diumumkan buat pertama kalinya oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, sejurus selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Kabinet buat pertama kali setelah mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke Lima.
- Bersempena dengan sambutan Hari Integriti Nasional tahun ini (2008), yang telah masuk tahun kelima, Institut Integriti Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak telah menganjurkan Konvensyen Integriti Nasional 2008.
- Tema ”Integriti Pembangunan Mapan” dipilih untuk sambutan pada tahun ini.