Jumlah hartanah yang layak membayar cukai taksiran di Miri adalah kira-kira 73,000 unit, merangkumi hartanah kediaman, komersial serta perindustrian dan daripada jumlah tersebut, lebih 50% adalah hartanah kediaman.
Bagi memastikan pembayaran dilakukan mengikut masa, MBM mengenakan penalti sebanyak satu peratus setiap bulan ke atas jumlah tertunggak.
Penalti ini akan meningkat dari semasa ke semasa secara tidak langsung, ianya akan menambah beban kewangan kepada pembayar cukai yang terlewat.
Malah, MBM juga berhak mengambil tindakan undang-undang, termasuk mengeluarkan perintah mahkamah untuk memaksa pembayaran.
Menurut Fasiliti Kumpulan Sirius Prime dari MBM, Puan Monica Lenya ketika ditemu bual RAKAN Sarawak, sebelum ini, MBM menghadapi masalah kutipan cukai taksiran yang tertunggak menyebabkan ia semakin meningkat setiap tahun.

Untuk makluman, Kumpulan Sirius Prime telah memenangi Anugerah Kelestarian Inovasi sempena Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2024 pada bulan Oktober.

Tiga faktor utama dikenal pasti sebagai penyebab utama peningkatan tunggakan ini ialah yang pertama, disebabkan faktor masa dan proses kutipan cukai yang panjang dan berulang menyebabkan kelambatan dalam pengutipan yang efisien.
Kedua ialah faktor manusia di mana pada aspek luaran, sikap sambil lewa dan kekurangan pemahaman dalam kalangan pihak yang terlibat sering menjadi punca utama manakala dari segi dalaman pula, kekurangan tindakan susulan menyebabkan pembaziran tenaga kerja.
Ketiga ialah faktor kos yang tinggi untuk tindakan undang-undang di mana proses penguatkuasaan undang-undang yang berulang memerlukan kos yang tinggi sehingga membebankan pihak majlis.
Namun begitu, MBM telah mengenal pasti penyelesaian berkesan untuk menangani masalah tunggakan ini dengan memperkenalkan salah satu kaedah yang telah dipertimbangkan iaitu Prosiding Garnisi (Garnishee Proceeding).
Prosiding Garnisi adalah kaedah pemotongan daripada sumber pembayaran yang sah untuk menuntut tunggakan cukai taksiran.
Ia juga merupakan satu prosedur undang-undang yang digunakan untuk mendapatkan bayaran tertunggak, biasanya oleh pihak berkuasa atau pihak yang mempunyai hak untuk memungut hutang.
Merujuk https://www.norhafeezlaw.com/2023/03/apa-itu-prosiding-perlaksanaan.html, prosiding garnisi secara kelazimannya adalah prosedur undang-undang yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu penghakiman yang berasaskan pembayaran wang (monetary judgment).
Monetory Judgment adalah sejenis penghakiman yang mengandungi ganti rugi atau pampasan kewangan ataupun untuk bayaran balik hutang termasuklah apa-apa kos yang diperintahkan oleh mahkamah.
Secara asasnya, undang-undang dan peraturan berkenaan dengan proses Prosiding Garnisi ini diselaraskan oleh Aturan 49 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Prosiding Garnisi akan membolehkan pihak yang berhak kepada pembayaran wang tersebut (disebut sebagai Pemiutang Penghakiman) mendapatkan perintah daripada Mahkamah untuk memerintahkan institusi kewangan (contohnya, bank) agar membekukan akaun-akaun bank dan merampas baki simpanan Penghutang Penghakiman yang terdapat di dalam akaun tersebut untuk membayar jumlah hutang Penghakiman.
Pembekuan akaun-akaun bank milik Penghutang Penghakiman ini akan menyukarkan pelbagai urusan beliau termasuklah urusan keluar masuk gaji dan pengeluaran wang untuk kegunaan harian.
Justeru menurut Puan Monica, dengan pelaksanaan kaedah Prosiding Garnisi ini, MBM telah dapat mengurangkan tunggakan cukai taksiran setiap tahun, sekali gus meningkatkan pulangan cukai yang dikutip.
Sebelum MBM melaksanakan kaedah Prosiding Garnisi, kadar penyelesaian kes tunggakan cukai taksiran adalah agak rendah.
Pada tahun 2015, daripada 368 kes, hanya 29% kes berjaya diselesaikan, iaitu sebanyak 109 kes dan tahun seterusnya, iaitu pada 2016, jumlah kes yang diselesaikan meningkat kepada 53% dengan 123 kes selesai daripada 231 kes yang dibuka.
Namun, pada tahun 2017, walaupun jumlah kes meningkat kepada 534, hanya 28% iaitu 51 kes yang berjaya diselesaikan.
Dengan pengenalan kaedah Prosiding Garnisi pada tahun 2018, perubahan ketara dapat dilihat di mana pada tahun tersebut, sebanyak 60 kes dibuka dan 51 kes berjaya diselesaikan, sekali gus berjaya mencapai peratusan penyelesaian yang tinggi iaitu 85%.
Pada tahun 2019, kes yang diselesaikan meningkat kepada 95% dengan 248 daripada 260 kes berjaya ditangani.
Pada tahun 2020, jumlah kes yang dibuka adalah 113, dan hampir kesemua kes tersebut diselesaikan, dengan hanya 1 kes yang tidak selesai, mencapai kadar penyelesaian hampir 99%.
Tahun 2021 menyaksikan tiada kes baharu yang dibuka, berikutan polisi MBM semasa pandemik Covid-19.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2022 dan 2023, MBM mencatatkan kejayaan penuh dengan 100% penyelesaian bagi semua kes yang dibuka, iaitu 147 kes pada 2022 dan 49 kes pada 2023.
Peningkatan yang ketara dalam kadar penyelesaian kes selepas pelaksanaan kaedah Prosiding Garnisi menunjukkan keberkesanan kaedah ini dalam menangani masalah tunggakan cukai.
Ini membuktikan bahawa pendekatan yang lebih sistematik dan efisien seperti ini dapat membantu MBM mengurangkan jumlah tunggakan cukai taksiran dengan lebih cepat dan efektif.
