- Advertisement -
4,928
published news
and counting

Sarawak Teraju Usaha Tangani Perubahan Iklim

Must read

Menurut Jabatan Metereologi Malaysia (MET Malaysia), perubahan iklim merujuk kepada perubahan jangka panjang, biasanya beberapa dekad atau lebih dalam corak cuaca global yang disebabkan oleh faktor semula jadi atau aktiviti manusia.

Perubahan iklim melibatkan perubahan signifikan dalam corak cuaca seperti perubahan suhu, taburan hujan, kelembapan, haba lautan, corak angin, paras laut dan luas ais laut serta kesan perubahan tersebut terhadap kehidupan di bumi.

Antara faktor semula jadi perubahan iklim ialah kitaran matahari, letusan gunung berapi dan perubahan suhu laut manakala faktor disebabkan oleh aktiviti manusia pula antaranya adalah pembakaran bahan api fosil untuk tenaga, penebangan hutan, penggunaan bahan kimia industri dan sebagainya.

Perubahan iklim boleh mendatangkan kesan seperti kenaikan suhu global yang dipanggil sebagai pemanasan global, pencairan ais di kutub yang turut menyebabkan kenaikan paras laut, banjir, kemarau dan gelombang haba yang lebih kerap serta kehilangan habitat dan kemusnahan biodiversiti yang mengancam ekosistem.

Kesan-kesan lain termasuklah gangguan pertanian dan sumber makanan akibat perubahan cuaca, ancaman kesihatan manusia melalui masalah pernafasan dan kesan suhu melampau dan kerugian ekonomi, terutama dalam sektor pertanian dan perikanan yang memerlukan kos adaptasi yang besar.

Pada 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan yang menjangkakan dari tahun 2030 hingga 2050, kadar kematian disebabkan kesan perubahan iklim ialah sebanyak 250,000 dengan kos rawatan dianggarkan sekitar AS$4 bilion.

Fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat berterusan, panas yang membahang serta penurunan suhu di beberapa kawasan merupakan antara kesan perubahan iklim yang kini dirasai di Malaysia.

Untuk menangani isu ini, kerajaan memainkan peranan penting seperti menggubal dasar dan menguatkuasa undang-undang, beralih kepada tenaga bersih, melindungi ekosistem semula jadi serta menjalin kerjasama antarabangsa.

Sarawak muncul sebagai peneraju dalam usaha menangani perubahan iklim di Malaysia yang jelas dilihat melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak, dari menggubal dasar dan undang-undang hingga ke peralihan tenaga bersih dan ekonomi rendah karbon.

Dasar Perubahan Iklim

Dasar Perubahan Iklim Sarawak menyediakan rangka kerja komprehensif untuk mengurangkan pelepasan karbon dan kesan perubahan iklim.

Dasar tersebut selaras dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan mampan untuk persekitaran yang bersih dan sihat.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak melihat inisiatif karbon sifar bersih sebagai pemangkin untuk pembangunan mampan dan membuka peluang untuk ekonomi baharu.

Pengenalan dua (2) peraturan baharu, iaitu Peraturan Pembakaran dan Pelepasan di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) dan Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah 2024 menunjukkan komitmen berterusan Sarawak dalam menangani dan mengadaptasi perubahan iklim yang progresif tanpa mengorbankan kemajuan ekonomi.

Di bawah Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Ordinan Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) akan memantau jumlah pelepasan gas, khususnya pembakaran gas di tapak minyak selain levi karbon akan dikenakan sekiranya jumlah pelepasan gas melebihi had yang ditetapkan manakala Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah 2024 pula akan memastikan audit yang dijalankan benar-benar mengikut piawaian serta memastikan kesahihan laporan yang dibuat dikeluarkan oleh juruaudit yang bertauliah.

Perdagangan Karbon

Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menganugerahkan lesen karbon pertama kepada sebuah syarikat pada Disember 2024 yang merupakan satu langkah penting dalam agenda negeri untuk menangani perubahan iklim.

Syarikat tempatan, iaitu SaraCarbon Sdn Bhd menjadi syarikat pertama dianugerahkan lesen projek karbon kawasan ladang hutan setelah mendapat permit kajian karbon hutan semasa berlangsungnya Persidangan Karbon Asia 2023.

Projek sulung anak syarikat Samling Group itu, iaitu Projek Pemuliharaan dan Pemulihan Hutan Marudi, Miri yang akan dimulakan pada tahun ini bertujuan untuk mengurangkan pelepasan GHG menerusi pendekatan berasaskan alam semula jadi dan pada masa yang sama mempromosi pengurusan hutan mampan.

Projek tersebut yang bakal menghasilkan kredit karbon berkualiti tinggi mengikut piawaian antarabangsa seperti Verra menunjukkan potensi sumber semula jadi negeri untuk dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan persekitaran.

Selain itu, projek berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, malah juga memberikan impak ekonomi yang positif seiring dengan strategi Sarawak untuk menjadikan perdagangan karbon sebagai ekonomi baharu dengan penglibatan swasta.

Penganugerahan lesen tersebut juga menunjukkan komitmen Sarawak dalam usaha menangani perubahan iklim global menerusi dasar progresif dan langkah yang praktikal dan pada masa yang sama menekankan peranan JHS sebagai pelopor dalam mengintegrasikan kemampanan ke dalam pembangunan ekonomi.

Projek SaraCarbon juga menyerlahkan potensi dalam perihal memanfaatkan sumber semula jadi dengan lebih bertanggungjawab dan memastikan manfaat jangka panjang untuk alam sekitar serta komuniti setempat.

Di Amerika Syarikat, program perdagangan karbon telah dilancarkan buat kali pertama di California pada 2013.

Hasilnya, pelepasan karbon di California telah menurun sebanyak 10 peratus dari tempoh 2013 hingga 2018.

Tenaga Boleh Diperbaharui

Sarawak telah mencapai 62 peratus penggunaan tenaga daripada sumber hijau pada 2024, melebihi sasaran awal yang ditetapkan sebanyak 60 peratus seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak ketika beliau menghadiri Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) pada Oktober 2024.

Dalam menerajui peralihan ke tenaga bersih dan mampan, Kerajaan Sarawak turut memanfaatkan tenaga solar, meneroka teknologi kuasa-ke-gas-ke-kuasa (P2G2P), membangunkan biojisim melalui bahan bakar dan tenaga suria dengan angin melalui pendekatan hibrid.

Projek ladang solar terapung di Empangan Batang Ai, Lubok Antu mampu mengimbangi pelepasan karbon sebanyak 52 kilotan setahun – Foto SEB

Projek ladang solar terapung seluas 86 hektar di Empangan Batang Ai, Lubok Antu mampu mengimbangi pelepasan karbon sebanyak 52 kilotan setahun, seterusnya mengurangkan jejak karbon dengan ketara.

Kerajaan Sarawak juga mempunyai perancangan untuk meneroka teknologi Pumped Hydro Energy Storage (PHES) yang akan digabungkan dengan tenaga solar terapung.

Sistem tersebut akan memanfaatkan sinaran matahari serta infrastruktur tenaga hidro sedia ada untuk meningkatkan keselamatan tenaga negeri.

Melalui P2G2P, sumber berkenaan akan mengubah kuasa hidro menjadi gas, khususnya angin hidrogen yang digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan tenaga.

Lebih 70 peratus tenaga elektrik di Sarawak dijana daripada kuasa hidro, lantas menjadikan negeri ini antara pengeluar karbon terendah di rantau ASEAN dalam sektor tenaga pada masa ini – Foto SEB

Pada masa sekarang, empangan hidro Batang Ai menjana 108 megawatt (MW) tenaga manakala tenaga daripada ladang solar pula dianggarkan lebih kurang 50MW.

Ini bermakna, Batang Ai akan mengeluarkan sejumlah 108MW tenaga daripada gabungan dua (2) sumber tenaga (hidroelektrik dan solar) berkenaan.

Projek ladang solar terapung merupakan pendekatan terkini Kerajaan Sarawak yang dikendalikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama syarikat swasta yang selain daripada menghasilkan tenaga, projek tersebut juga tidak menjejaskan kawasan tanah tanaman.

Di bawah strategi sektor tenaga, Sarawak turut menyasarkan untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui 10 gigawatt (GW) menjelang tahun 2030 yang akan ditingkatkan kepada 15GW menjelang 2035.

Pada masa ini, lebih 70 peratus tenaga elektrik di Sarawak merupakan janaan daripada kuasa hidro, lantas menjadikan negeri ini antara pengeluar karbon terendah di rantau ASEAN dalam sektor tenaga.

Rujukan:

1.         https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/10387/UKAS

- Advertisement -

2.         https://suarasarawak.my/sarawak-terokai-lima-sumber-tenaga-boleh-diperbaharui/

3.         https://www.utusanborneo.com.my/2024/10/21/sarawak-catat-62-peratus-tenaga-diguna-daripada-sumber-tenaga-hijau    

4.         https://suarasarawak.my/sarawak-dijangka-eksport-30-50mw-tenaga-boleh-diperbaharui-ke-sabah-pada-hujung-2025/

5.         https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sarawak-terajui-peranan-tangani-perubahan-iklim-menerusi-pembangunan-lestari-510119

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article