Kota Samarahan akan menjadi tuan rumah untuk majlis sambutan Maal Hijrah 1431 H bagi Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan pada 17 Disember bersamaan 30 Zulhijjah 1430H (Khamis) dan 18 Disember 2009, 01 Muharam 1431H (Jumaat). Sambutan kali ini bertemakan "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah".
Majlis bermula pada hari Khamis sebelah petangnya dengan Majlis Doa Akhir Tahun 1430 H dan Bacaan Doa Awal tahun 1431H diadakan di Masjid Al-Mutaqqin, Kota Samarahan sebelum solat Maghrib. Kemudiannya disusuli dengan pengisian ceramah khas Maal Hjirah, "Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah" yang akan disampaikan oleh Ustaz Sarip Adul, pensyarah dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah.
Acara utama Majlis Perhimpunan Maal Hijrah akan diadakan pada keesokan harinya, 18 Disember 2009 bertempat di Dewan Suarah, Kota Samarahan.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah dijangka akan menghadiri kedua-dua program tersebut di samping YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Perkara ini diumumkan YB Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Negeri semasa sidang media pagi tadi.
Menurut beliau, objektif utama sambutan adalah untuk memperingati dan mengambil iktibar sewajarnya daripada peristiwa bersejarah Hijrah Nabi Muhammad SAW, bersama kaum keluarga dan para sahabat baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah.
Pada sambutan kali ini, sebanyak 12 Anugerah Maal Hjirah 1431 H akan disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri kepada tokoh dan individu yang teiah memberi sumbangan dalam pembangunan insan melibatkan tokoh dan individu yang bukan beragama Islam.
Pelbagai acara sampingan akan diadakan sempena sambutan Maai Hjirah 1431H. Antaranya ceramah dan forum agama di masjid dan surau di seluruh negeri, Larian Maal Hjirah yang akan diadakan pada 13 Disember 2009, Program Gotong Royong pada 16 Disember 2009, Program Berambeh Di Perkampungan Saudara Kita di Tebun, Simunjan pada 19 Disember 2009, Program Membersih Jalan Utama Kampung Tanjung Bundung Tradisi pada 19 Disember 2009 dan Seminar Undang-Undang Keluarga Islam pada 23 Disember 2009 di Dewan Setia, Simunjan.