- Advertisement -spot_img
4,835
published news
and counting

Tadbir Urus Baik: Cabaran RMK-10

Must read

RMK-10 merupakan landasan terbaik untuk semua agensi kerajaan dan penjawat awam mengubah strategi dan persekitaran tadbir urus di agensi masing-masing. Ini kerana RMK-10 akan menyediakan landasan ekonomi yang terbaik bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi dan maju.
 
Demikian menurut Datuk Dr. Mohd Tap Salleh, Presiden Institut Integriti Malaysia, dalam Forum Keutuhan Pengurusan yang bertajuk “Tadbir Urus Baik:  Cabaran Rancangan Malaysia Ke-10” yang  menjelaskan bahawa semua agensi kerajaan perlu berusaha melampaui segala yang diusahakan ketika ini untuk memastikan keberkesanan RMK-10. Malah, ia merupakan prasyarat penting bagi memastikan matlamat negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 akan tercapai. 
 
Menurutnya, sepanjang RMK-10 (2011 – 2015), negara perlu mencapai pertumbuhan minimum sebanyak 5.4 peratus setahun dan momentum pertumbuhan itu harus dikekalkan pada sepanjang RMK11(2016-2020), bagi memastikan matlamat negara itu akan tercapai.
 
Di samping itu, tempoh RMK-10 juga akan menyaksikan penyediaan pelan pelaburan yang berasaskan keupayaan kewangan kerajaan, serta galakan bagi meningkatkan inisiatif sektor swasta. Kerajaan mahu melihat sektor swasta menjadi peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara serta merealisasikan pencapaian konsep 1Malaysia. 
Bagi memastikan perancangan RMK-10 tercapai,  perkhidmatan awam perlu memainkan peranan melangkaui tugas biasanya, iaitu sebagai pemimpin, penyedia perkhidmatan, fasilitator, pacesetter, regulator (agensi kawal selia), negotiator dan strategic integrator.
Ketika ini, persekitaran pekerjaan penjawat awam telah berubah dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor luaran.  Antaranya, keperluan kepada tadbir urus baik, ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), organisasi berasaskan pengetahuan, keperluan kepada daya saing dan permintaan terhadap perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Beliau turut memberikan beberapa contoh kes tadbir urus yang kurang baik seperti pengurusan kewangan yang kurang cekap, sehingga menyebabkan kerajaan kerugian sehingga mencecah RM28 bilion setahun.
Beliau menyifatkan bahawa itulah cabaran sebenar perkhidmatan awam pada masa akan datang. Sehubungan itu, dalam merangka strategi menangani masalah tersebut, perkhidmatan awam perlu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, agar lebih efisyen, cepat, tepat dan efektif kos.
 
Walaupun nampak sukar, namun kunci atau asas kepada pencapaiannya adalah penyampaian perkhidmatan awam secara berintegriti.
Selain itu, proses pengambilan pekerja perlu diperketat dengan mengadakan kajian integriti (Integrity Testing) melalui penekanan terhadap elemen nilai dan integriti,  dan bukan setakat melihat kelayakan dan kemahiran individu tersebut.
Bertepatan dengan konsep “rakyat didahulukan”, kerajaan juga sedang menggalakkan penglibatan masyarakat dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek melalui tiga strategi; pendidikan (educate the public), konsultasi (consult the people), dan partisipasi (avenue for participation).
Dalam perkara ini, beliau bersetuju bahawa ICT adalah alat yang perlu digunakan untuk melibatkan masyarakat. Malah, ICT merupakan kemestian dan bukan lagi pilihan bagi menyediakan perkhidmatan yang cepat dan tepat, di samping membantu mengurangkan ruang dan peluang berlakunya penyelewengan dalam tadbir urus kerajaan.
 
 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article