dasar tidak akan berjaya mencapai objektif sekiranya pemantauan dan
penambahbaikan tidak dilakukan dari semasa ke semasa bagi menjamin
perkhidmatan awam yang berkualiti.
Perkara tersebut ditekankan oleh
Dato’ Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam bengkelnya (di Konvensyen JKP di Kuching baru-baru ini) bertajuk “Membangun, Melaksana Dan Mengawal Dasar Awam Yang Efektif” . Ia turut membincangkan tentang pengalaman KDN dalam usahasanya melaksanakan dasar-dasar kementerian agar mencapai aspirasi rakyat dan negara.
Secara umumnya, jelasnya sesuatu dasar digubal bagi meningkatkan kecekapan, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengurusan, mengatasi masalah, meletakkan asas pentadbiran negara atau organisasi, panduan bagi mencapai objektif, dan menyedarkan orang ramai perlunya sesuatu amalan baik dipratikkan.
Seterusnya, peranan penjawat awam untuk mewujudkan satu pasukan pentadbir yang berkemampuan dalam melaksanakan dasar-dasar dan program-program kerajaan dengan cekap dan efektif.
Sehubungan itu, pengeluaran arahan dan pekeliling dari semasa ke semasa, perlu dilaksanakan untuk memantapkan perkhidmatan awam ke aras yang lebih tinggi.
Sungguhpun begitu, beliau mengakui bahawa walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, rungutan dan aduan orang ramai akan terus mewarnai senario perkhidmatan awam.
Ia merupakan petanda positif bahawa orang awam sentiasa menyedari hak mereka sebagai pelanggan dan dapat menyampaikan aduan mereka tentang perkhidmatan dan tindakan yang dirasai tidak adil, tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedia ada, termasuk salah laku, penyelewangan, salah guna kuasa, salah tadbir dan seumpamanya.
Aduan itu pula boleh dibuat melalui pelbagai saluran seperti Biro Pengaduan Awam (BPA), dan menggunakan pelbagai medium seperti internet dan sistem pesanan ringkas (sms). Pada pihak kerajaan pula, aduan pelanggan itu harus dilihat sebagai satu peluang untuk menambah baik dan memperbaiki perkhidmatan melalui gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.
Bagi memastikan dasar yang dilaksanakan KDN selaras dengan perubahan persekitaran dan corak kehidupan di kalangan rakyat, beberapa perubahan juga akan diusahakan. Beliau memberitahu bahawa KDN akan mengadakan kajian semula ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mempercepatkan pemprosesan permohonan kewarganegaraan yang tertangguh, menyegera dan mempertimbangkan permohonan Permit Masuk untuk membolehkan pendatang mendapat taraf penduduk tetap, dan memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat didaftarkan segera terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut mengulas salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah dengan tujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan awam demi memastikan rakyat dapat hidup dalam suasana aman, selamat dan harmoni. Pelbagai strategi telah diatur untuk tujuan itu. Antaranya, mengenalpasti kawasan kerap jenayah, menggerakkan lebih ramai anggota pasukan keselamatan dari pelbagai agensi dan pasukan sukarela, serta meningkatkan bilangan Balai Polis Bergerak, unit bermotosikal dan kamera pemantau di seluruh negara.
Penubuhan NKRA Lab Mengurangkan Jenayah pula telah menghimpunkan para pegawai terbaik dari pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Hasil cetusan idea NKRA-Lab, sebanyak 55 inisiatif telah dikenalpasti bagi menyediakan persekitaran yang dapat menjamin ketenteraman orang awam.
Selaras dengan matlamat akhir gagasan 1Malaysia, prestasi penjawat awam apabila berurusan dengan orang awam perlu diberi penekanan. Disebabkan itu, pengenalan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang menjurus kepada budaya berprestasi tinggi diberikan penekanan. Di peringkat KDN, dua Bidang Keberhasilan Utama Menteri (MKRA) telah diperkenal. Pertama, memastikan akta, undang-undang sentiasa relevan dengan keadaan semasa, dan kedua menambahbaik penyampaian perkhidmatan.
Turut diberitahu ialah tentang penyediaan Logo 1Malaysia bersama touch point KDN dan jabatan-jabatan di bawahnya. Tujuannya, bagi menyatakan janji dan komitmen mereka kepada rakyat. Misalnya, Jabatan Penjara Malaysia dengan “Satu Perjumpaan Khas Satu Jam” Jabatan Pendaftaran Negara dengan “Satu hari pengeluaran gentian MyKad di JPN Putrajaya” dan Polis DiRaja Malaysia dengan “Pembayaran saman dalam masa satu minit”.