Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Kursus Pendidikan Permata Negara (KPPN) bagi para pendidik awal kanak-kanak terpilih di Sarawak telah julung-julung kali dilaksanakan dengan bermulanya kursus Siri 18 dan 19/2011 yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Kuching.
Dianjurkan oleh Jabatan Ketua Menteri Sarawak (JKM) dengan kerjasama Yayasan Sarawak, Bahagian PERMATA, Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Agama Islam Sarawak, kursus yang disertai oleh kira-kira 100 orang pendidik bermula dari 9 Januari hingga 3 Februari 2011.
Mempunyai objektif menambahkan pengetahuan dan kemahiran para pendidik dalam melaksanakan program pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun, para peserta kursus berkenaan terdiri dari mereka yang bertugas di taska-taska Jabatan KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Sedidik, Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Agama Islam Sarawak, Yayasan Sarawak serta yang berasaskan komuniti, Pustaka dan Hikmah Sarawak.
Majlis perasmian KPPN Siri 18 dan 19/2011 telah diadakan di Kompleks Yayasan Sarawak pada 10 Januari 2011, dan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS).
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Puan Saidatu Akhma, Setiausaha Bahagian PERMATA Negara, JPM, yang mewakili Pegawai Khas kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Siti Azizah Sheikh Abod, Dr Sabariah Putit, Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti (HRDQ), JKM, Encik Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Yayasan Sarawak serta YBhg Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Agama Islam Sarawak.
Semasa berucap pada majlis tersebut, YB Datin Hajah Fatimah memberitahu pada tahun 2009, Bahagian PERMATA Negara, JPM telah memberikan peruntukan sebanyak RM17.9 juta untuk menaik taraf dan membina 49 buah taska PERMATA Negara, di negeri ini, iaitu 33 buah taska KEMAS, 1 taska JPNIN dan 15 taska di bawah JKM.
“Melalui peruntukan daripada Bahagian PERMATA ini, Sarawak mampu memberi infrastruktur pendidikan yang lebih baik, terutama di kawasan luar bandar, untuk komponen kemudahan dalaman dan komponen permainan luar, kurikulum yang mantap, latihan guru yang menyeluruh dan bahan pengajaran serta pembelajaran yang cukup,” jelas YB Datin Hajah Fatimah.
Oleh sebab itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian PERMATA Negara, JPM kerana sentiasa menyokong dan menyumbang kepada usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan dan memantapkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.
Sebelum itu, beliau berkata kerajaan negeri amat menyedari kepentingan pendidikan awal kanak-kanak kepada perkembangan kognitif, afektif dan sosio-emosi di semua peringkat umur, dan dalam usaha menyelaras mutu pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan menitik beratkan kualiti dari aspek kurikulum menyeluruh dan bersepadu, kemudahan yang disediakan, peralatan pengajaran dan pembelajaran, latihan keguruan dan pengasuhan guru dan pengasuh, atau kualiti bimbingan keinsanan kepada anak-anak.
Penyediaan dan penawaran asuhan, bimbingan dan pendidikan bermutu adalah penting, kata beliau lagi, kerana pendidikan awal kanak-kanak mampu memberi persediaan awal kepada kesediaan kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan formal yang lebih mencabar serta perkembangan otak kanak-kanak berlaku begitu cepat pada umur di bawah enam tahun.
Selain dari itu juga, kanak-kanak merupakan modal insan masa hadapan yang amat berharga bagi Sarawak, dan beliau juga berkata terdapat kaitan antara tahap IQ dan kejayaan masa hadapan kanak-kanak yang mempunyai pengalaman pendidikan awal.
Pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak dijalankan oleh pelbagai agensi termasuk KEMAS, JPNIN dan Jabatan Pelajaran Negeri selain dari pihak swasta yang mempunyai cara, kaedah dan penekanan masing-masing, jelas beliau, dan pada tahun 2010, seramai 74,610 orang kanak-kanak telah mendapat asuah dan bimbingan dalam 81 kelas taska dan 2,015 kelas tadika, dengan 85 peratus dari jumlah tersebut dikendalikan oleh agensi awam.
“Usaha yang dilakukan sekarang sebahagian besarnya adalah tertumpu kepada bimbingan dan didikan untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur 5 hingga 6 tahun, dan asuhan serta bimbingan bagi anak-anak di bawah usia tersebut, iaitu di bawah umur lima tahun masih belum dilaksanakan secara meluas,” kata YB Datin Hajah Fatimah.
Dalam menyedari kepelbagaian dan kekurangan tersebut, Kerajaan Negeri Sarawak berpendirian bahawa usaha penyelarasan kualiti pelaksanaan dan penyediaan pendidikan awal kanak-kanak dan peluasan untuk menyediakan juga asuhan dan bimbingan bagi anak-anak dalam lingkungan umur 2 hingga 4 tahun adalah sangat penting.
“Sehubungan ini, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri yang amat mengambil berat tentang perkara ini telah menyarankan penubuhan sebuah majlis untuk melihat perkembangan kedua-dua perkara ini,” jelas YB Datin Hajah Fatimah.
Majlis berkenaan, kata beliau, iaitu MPAKS telah ditubuhkan pada 20 Ogos 2009 bagi menangani isu-isu tentang akses, ekuiti, kualiti dan pendaftaran berhubung pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak, dengan fungsinya termasuk menjadi penasihat kepada Kerajaan Negeri berhubung dasar-dasar pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak, pematuhan kepada mutu piawaian tadika yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan lain-lain pihak berkuasa, serta pengelolaan aktiviti kajian dan pembangunan berkaitan.
Semenjak tahun 2006, kata YB Datin Hajah Fatimah lagi, Kerajaan Negeri telah membiayai Konvensyen Pendidikan Prasekolah setiap tahun sebagai satu langkah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran guru-guru tadika dan prasekolah.
Mulai April 2010 pula, Kerajaan Negeri Sarawak telah menempatkan tanggungjawab terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di bawah seliaan seorang Menteri Penuh di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, iaitu diri beliau sendiri.
Sementara itu, Puan Saidatu menyatakan PERMATA Negara, JPM amat gembira kerana Sarawak begitu komited dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Inilah satu-satunya negeri yang telah memberikan komitmen sepenuhnya dalam Program PERMATA Negara, seperti yang ditunjukkan pada hari ini. Sarawak telah mengadakan satu kursus khas untuk para pendidik PERMATA Negara,” jelas beliau.
Kata beliau lagi, projek perintis PERMATA Negara di Sarawak dimulakan di Kota Samarahan pada tahun 2007, yang pada mulanya kecil, dengan tanggungjawab dan mandat untuk melaksanakannya diberikan kepada JKM, dan seterusnya ia telah berjaya diperluaskan ke kawasan pedalaman negeri ini.
JPM, tambah Puan Saidatu, tidak akan berjaya meluaskan program PERMATA Negara ke kawasan luar bandar Sarawak tanpa bantuan JKM.
Buat masa ini, jelas beliau, JPM mensasarkan untuk menubuhkan sebuah pusat PERMATA Negara dengan di setiap kawasan Parlimen di bawah Rancangan Malaysia ke-10, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai bukan mustahil.