- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

‘SMART Peg’ Inovasi Tanda Sempadan Tanah

Must read

Masa Hadapan

Sejak tahun 1975 sehingga sekarang, ‘peg belian’ masih lagi digunakan sebagai tanda kawalan sempadan di seluruh negeri Sarawak.

Peg belian diperbuat daripada kayu pokok belian yang juga dikenali sebagai Pokok Besi Borneo. Pokok in telah diklasifikasikan sebagai spesis terancam dan juga telah diisytiharkan sebagai pokok negeri Sarawak pada 20 Mac 1984.

Peg belian mempunyai tiga saiz; bergantung kepada keadaan fizikal tanah. Tanda kawalan adalah kedudukan titik di permukaan bumi yang berfungsi sebagai rujukan bagi setiap permulaan dan pengikatan kerja pengukuran manakala tanda sempadan pula adalah titik di atas permukaan bumi untuk menanda kedudukan separa tanah untuk menentukan keluasan tanah berhakmilik.

Tanda kawalan/sempadan adalah sangat penting dalam urusan pembangunan negara dan Seksyen 110 Kanun Tanah Negeri Sarawak jelas menyatakan larangan mengalih atau mengganggu tanda kawalan/sempadan.

Mengikut kajian dan pengalaman Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, penggunaan kayu belian masih menimbulkan beberapa masalah; antaranya kesukaran mengesan peg di kawasan hutan, paya dan kawasan berpendudukan.

Lebih menyukarkan lagi, peg belian ini tidak “mesra pengguna” di mana ia menjadi bebanan kepada pasukan survey kerana bentuk fizikalnya yang tajam, berat , sukar dibawa dan tidak fleksibel.

Peg belian ini juga sering tertimbus sekaligus menyukarkan proses pengesanan serta penggunaannya yang tidak optimum; menyebabkan pembaziran berterusan; mengakibatkan perancangan pengumpulan tergendala; dan melambatkan proses kerja pengukuran.


Menyedari masalah ini, ‘Kumpulan Millenium Sabe’ dari Cawangan Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Survei yang diketuai oleh Siti Romiza Romali bersama-sama lapan orang ahli kumpulan lain berganding bahu menghasilkan pendekatan terbaik untuk mempertingkatkan mutu kerja pengukuran jabatan dengan dengan mencipta sejenis peg baru sebagai tanda kawalan/ sempadan yang lebih efisien dan mudah dijejaki yang diberi nama SMART peg.

Mereka mengenalpasti bahawa penggunaan peg belian sebagai tanda kawalan di sempadan kurang efisien dan sukar dijejaki manakala penggunaan kayu belian sebagai cara menanda satu titik rujukan di permukaan bumi telah didapati kurang sesuai digunakan masa kini dari segi bahan binaan, teknologi, logistik dan mengambil masa yang lama untuk di kesan.

Hasil penemuan daripada projek tersebut, SMART peg adalah tanda kawalan sempadan yang akan menggantikan peg belian.

SMART peg diperbuat daripada bahan binaan mesra alam yang mengandungi UV stabiliser. Ia mempunyai panjang minimum 1 kaki dan 10 inci manakala tiada had bagi panjang maksimum. Mampu menampung berat minimum 475 gram manakala berat secara peringkat adalah 625 gram sahaja.

Kelebihan yang ada pada SMART peg adalah tahan hentakan, dan hujungnya tirus dan bersayap turut memudahkan ia ditanam dan tahan cengkaman. Berbeza dengan peg belian, kepanjangan SMART peg boleh disesuaikan mengikut keperluan keadaan tanah.

Penggunaan SMART peg dapat memberi penjimatan kuantiti dan penjimatan kos berbanding peg belian. Untuk tujuan inventori dan kemudahan pengesanan di lapangan, SMART peg dilengkapi dengan nombor siri yang unik. Bentuk fizikalnya yang ringan dan fleksibel juga memudahkan ia dibawa ke mana-mana.

Penggunaan SMART peg mampu menyokong pemuliharaan hutan dalam mengurangkan permintaan penggunaan kayu belian. Selain daripada itu, ia dapat mengelakkan pembaziran Kumpulan Millenium Sabe dari Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Kuching telah memenangi kategori teknikal dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di peringkat Zon Selatan dan negeri sekaligus menggalakkan penjimatan kos.

Standard tanda kawalan/ sempadan negeri dan negara dapat dipertingkatkan serta penjimatan masa pengukuran dan kos operasi. Selain meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan bekalan logistik, ia juga mampu meningkatkan keberkesanan perkhidmatan.

Lebih menarik lagi, kaedah pemantauan untuk inventori peg lebih sistematik dengan penggunaan nombor siri sekaligus dapat memberi impak positif kepada mutu perkhidmatan dan imej jabatan. Untuk usaha penambahbaikan, SMART peg turut ditransformasikan dengan alat pengesan logam yang bertujuan untuk memudahkan kerja pengesanan peg dilakukan.

Bagi memantau prestasi ciptaan tersebut, pasukan survey Kuching telah menggunakan SMART peg sebagai tanda sempadan di Kampung Semariang Tanah Merah pada 10 Mei 2011. Hasil analisa mendapati SMART peg telah lulus penggunaanya sebagai tanda sempadan/kawalan serta disokong dan disahkan oleh Penolong Pengarah Survei.

Selain mendapat maklumbalas positif daripada agensi kerajaan mahupun swasta, SMART peg juga menerima usul penyeragaman. Perancangan masa hadapan untuk penggunaan SMART peg akan diseragamkan di seluruh negeri Sarawak, ini termasuklah, permohonan hakcipta SMART peg sedang diproses kerana produk ininberpotensi dikomersialkan untuk kegunaan jabatan dan kerajaan dan dipasarkan di peringkat global.

Kesimpulannya, penciptaan SMART peg akan mewujudkan satu perubahan positif kepada peningkatan mutu kerja pengukuran di lapangan sekaligus mampu mendukung dan memperluaskan lagi kemajuan teknologi tanda kawalan sempadan tanah di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya pada masa hadapan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article