Regatta Sarawak merupakan sukan air tradisi popular yang bermula di Kuching pada tahun 1872 iaitu ketika zaman pemerintahan Rajah Brooke. Ia diadakan setiap tahun dan kemunculannya sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang meminati perlumbaan perahu panjang. Secara tradisinya, setiap ahli kumpulan bekerjasama dan berpadu tenaga mengendalikan perahu masingmasing dalam misi merebut gelaran “Raja Sungai”.
Pada tahun depan, Regatta Sarawak bakal menyaksikan beberapa penglibatan daripada negara luar di mana peserta antarabangsa dijemput untuk menghantar penyertaan bagi memeriahkan lagi acara sukan air terbesar ini yang semakin popular di kalangan peserta, para pelancong tempatan dan luar negara.
Ia adalah usaha kerajaan untuk membawa Regatta Sarawak ke peringkat antarabangsa dalam tempoh lima ke sepuluh tahun akan datang. Lokasi sedia ada iaitu Tebingan Sarawak di Kuching akan dinaiktaraf dan dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur yang bakal dibina oleh kerajaan untuk memajukan sukan tersebut.
Hasrat Kerajaan Negeri ini dinyatakan oleh Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ketika majlis perasmian Regatta Sarawak 2011 baru-baru ini.
Pada tahun ini, Regatta Sarawak agak unik dan mempunyai sedikit kelainan apabila kumpulan peluncur air akrobatik iaitu Stars of Florida dari Amerika Syarikat telah dijemput untuk membuat persembahan dan menyerikan acara.
Apa yang menarik perhatian ialah pertandingan Wakeboard World Cup 2011 juga telah dianjurkan oleh International Waterski and Wakeboard Federation (IWWF), sebuah badan induk sukan luncur air yang beroperasi di Amerika Syarikat.
Wakeboard adalah sejenis sukan air ekstrim di mana peluncur membuat pelbagai aksi lompatan menggunakan papan luncur di atas permukaan air sambil ditarik oleh bot yang kebiasaannya bergerak pada kelajuan 17-24 km/j bergantung kepada situasi tertentu. Sukan yang diperkenalkan oleh IWWF ini diasaskan pada tahun 1946 dan merupakan sebahagian daripada Sukan Dunia sejak 2005. Ia mempunyai lebih daripada 90 ahli pertubuhan di seluruh dunia yang bersamasama menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Seramai hampir 50 peserta dari beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jepun telah mengambil bahagian dalam acara yang julung kali diadakan itu. Ia ternyata mencuri tumpuan orang ramai yang ternanti-nantikan acara tersebut sepanjang Regatta Sarawak berlangsung untuk menyaksikan peserta lelaki dan wanita berentap mempamerkan kemahiran masing-masing.
Berdasarkan sambutan yang menggalakkan, Presiden IWWF, Kuno Ritschard bersedia menyenaraikan Sarawak sebagai salah satu sirkit Piala Dunia IWWF pada tahun depan dan ia seharusnya menjadi kebanggaan kepada rakyat Sarawak. Rakyat Sarawak juga harus berterima kasih kepada IWWF kerana telah menganjurkan acara yang berprestij itu. Ia juga satu penghormatan kepada Sarawak kerana IWWF telah mempromosikan wakeboard kepada penduduk tempatan terutamanya golongan belia. Penganjuran Wakeboard World Cup 2011 pada Regatta Sarawak tahun ini juga menjadi titik tolak untuk menaiktarafkan lagi temasya tersebut.
Tahun ini juga menyaksikan penyertaan daripada pesertapeserta dari negara jiran seperti Brunei dan Indonesia bertanding di kalangan 350 pasukan membabitkan hampir 7,000 peserta dalam pelbagai kategori perlumbaan perahu yang dipertandingkan. Jumlah keseluruhan penyertaan pada kali ini ialah sebanyak 2,007 berbanding 1,000 pada tahun lepas. Peningkatan ketara ini adalah suatu perkara positif dan pastinya usaha untuk menambah lebih banyak penyertaan terutamanya daripada luar akan digiatkan. Kerajaan negeri juga berhasrat untuk menawarkan hadiah yang lebih lumayan di masa akan datang untuk menarik minat peserta.
Sarawak ialah sebuah negeri yang kaya dengan khazanah muka bumi yang menarik. Penduduknya yang berbilang etnik dengan keunikan budaya yang berbeza sering menjadi tarikan utama pelancong. Sungai-sungainya yang mengalir menjadi sumber pengangkutan dan nadi utama dalam kehidupan masyarakat di sesetengah kawasan juga merupakan lokasi yang ideal untuk menganjurkan sukan air seperti regatta.
Tidak dinafikan Regatta Sarawak adalah acara tradisi penting yang menghimpun lapisan masyarakat yang berbilang kaum di samping memupuk integrasi sosial dan muhibah di kalangan rakyat Sarawak. Apa yang rakyat Sarawak miliki ini telah dilihat di mata dunia dan usaha mempromosikan Regatta Sarawak di persada antarabangsa seharusnya disokong oleh semua pihak agar ia tersenarai dalam kalendar acara utama dunia.