Pengurusan Projek Kerajaan
Dasar kerajaan pada masa akan datang perlulah menjurus kepada pengurusan yang mementingkan “value management” atau pengurusan nilai. Ini bagi memastikan pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkata ia perlulah diterapkan dalam semua pengurusan projek kerajaan bermula dari peringkat awal lagi dengan menjadikannya alat pengurusan atau “management tool” bagi mencapai nilai untuk wang.
Beliau yang menegaskan perkara ini ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Mac 2011 turut menyentuh kepada kemampuan untuk seseorang melihat pilihan dan andaian yang ada, adakah terdapat kaedah atau cara yang lebih baik untuk mendapat pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan.
Katanya, terdapat banyak contoh di mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan dengan pengurusan nilai. Ia seharusnya merangkumi pra dan pasca projek termasuklah pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian.
Antara contoh terbaik, menurutnya semasa lawatan beliau ke Sarawak baru-baru ini, pendekatan melaksanakan projek berimpak tinggi dengan kos yang munasabah telah digunakan dengan jayanya bagi menyelesaikan masalah penduduk.
Contohnya, beliau berkata, jalan penghubung di Ba'kelalan yang sekiranya dilaksanakan melalui kaedah biasa akan memerlukan peruntukan sebanyak RM400 juta, tetapi dapat dilaksanakan dengan kos RM50 juta sahaja.
Ini, menurutnya dapat dilakukan dengan memanfaatkan kaedah Program 'Jiwa Murni' Kor Jurutera Angkata Tentera Malaysia yang menggembleng tenaga anggota tentera untuk membina jalan dan peruntukan hanya disediakan untuk pembelian bahan serta menyewa jentera.
Apa yang diutamanya di sini, katanya adalah rakyat mendapat manfaat segera tanpa berkompromi dengan piawai yang sewajarnya. Sebenarnya, sesuatu khidmat atau projek itu dapat dilaksanakan dalam apa cara sekalipun bagi memenuhi keperluan serta kehendak setempat.