- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Perhimpunan Belia Peringkat Sarawak 2010

Must read


akan dirasmikan 23 Julai

 

Perasmian Perhimpunan Belia Peringkat Negeri Sarawak 2010 akan berlangsung di Borneo Convention Centre, Kuching pada pagi 23 Julai 2010.

Ianya dijadualkan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dalam majlis yang akan bermula pada jam 8 pagi hari berkenaan, dengan perhimpunan pada tahun ini bertemakan ‘Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara”.


Perhimpunan Belia pada tahun ini berobjektifkan antara lain untuk menyemarakkan penglibatan golongan belia dengan meningkatkan komitmen serta sumbangan belia ke arah pembangunan mereka, memberikan pengiktirafan dan publisiti yang lebih meluas dalam melaksanakan program-program pembangunan belia ke arah pembangunan negeri Sarawak dan mewujudkan belia yang berilmu dan bermaklumat dengan memperbaharui ikrar dan tekad ke arah pembangunan diri dan negeri.


Selain itu juga ia disasarkan dapat memberikan kesedaran kepada golongan belia bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat tentang peranan belia di dalam membangunkan negeri Sarawak.


Kerajaan telah menetapkan tarikh 15 Mei setiap tahun sebagai Hari Belia Negara dan ia merupakan program induk kerajaan, dan di peringkat Sarawak pada tahun ini, sambutan akan diadakan pada 23 Julai nanti.


Perhimpunan tersebut diadakan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negeri Sarawak.


Ia adalah manifestasi semangat kerjasama pertubuhan-pertubuhan belia dari pelbagai peringkat dan sektor di peringkat negeri, bahagian dan daerah, di samping penglibatan belia dari pusat pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, belia bandar dan luar bandar, golongan profesional muda dari sektor swasta dan awam.


Seramai 5,000 belia disasarkan menyertai perhimpunan pada tahun ini, dengan kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian terdiri dari pertubuhan-pertubuhan belia, IPTA/IPTS, maktab perguruan, kolej kemahiran, sekolah-sekolah menengah, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan sukarelawan, kelab-kelab sukan dan kebudayaan, persatuan-persatuan wanita dan lain-lain di kawasan setempat.


Di samping itu, turut mengambil bahagian dalam Perhimpunan Belia Peringkat Negeri Sarawak 2010 adalah Kontinjen Bahagian Kuching yang mewakili belia negeri Sarawak.


Kerajaan negeri Sarawak juga akan memberikan beberapa anugerah bagi kategorgi-kategori Anugerah Tokoh Belia (umur 18 tahun ke atas, Pingat-pingat Emas, Perak dan Gangsa), Anugerah Belia Berkemahiran/Keusahawanan (umur 18 hingga 25 tahun), Anugerah Belia Sukan (umur bawah 40 tahun), Anugerah Belia Kebudayaan (umur bawah 40 tahun), Anugerah Wira Tani/Penyelamat/Nelayan/Penternak (umur 40 tahun ke atas) dan Anugerah Jasa Belia (umur 40 tahun ke atas).


Semua anugerah akan disampaikan oleh YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib sendiri semasa majlis perasmian perhimpunan.


Turut akan berlangsung semasa majlis tersebut adalah penyerahan skrol ikrar dan anugerah pencapaian seumur hidup kepada beliau, selain dari persembahan pantomim penghormatan kepada Allahyarhamah Datuk Patinggi Dr. Hajah Laila Taib.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article