- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Projek NKEA Pendidikan –EPP 10 dirintis,

Must read

Rancakkan Sektor Pelancongan di Sarawak

Sarawak telah dipilih bagi pelaksanaan sebuah projek perintis dalam membangunkan modal insan untuk industri hospitaliti dan pelancongan negara ini, yang mensasarkan latihan untuk 15,000 pelajar bagi industri tersebut setiap tahun sehingga tahun 2015, dan seterusnya menjadi 50,000 menjelang 2020, bagi memenuhi keperluan industri yang kian meningkat.

Projek berkenaan, yang dipimpin pelaksanaannya oleh UCSI University, adalah satu dari Projek Permulaan (EPP 10) Kelompok Disiplin Hospitaliti dan Pelancongan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), bagi sektor pendidikan.

Universiti tersebut telah diberikan kepercayaan oleh kerajaan sebagai institusi pengajian bagi melatih modal insan berkualiti untuk industri pelancongan di Malaysia, yang dijangka mampu mendatangkan pendapatan berjumlah RM168 bilion bagi negara ini.

Sebab-sebab pemilihan serta sasaran projek berkenaan telah diperincikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika pelancaran projek itu di Kompleks Pelancongan Sarawak pada petang 11 Februari 2011 lalu.

Kata beliau lagi, industri hospitaliti dan pelancongan di Malaysia mensasarkan kewujudan setengah juta pekerjaan baru menjelang tahun 2020, yang mana 65 peratus darinya akan memerlukan para pekerja berasaskan kemahiran vokasional, sementara selebihnya harus mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan diploma.

Sejumlah 57 peratus darinya akan berpendapatan purata antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, sementara 25.5 peratus lagi akan berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

Oleh itu, jelas YB Datuk Seri Mohamed Khaled, cabaran sekarang adalah bagaimana untuk mempertingkatkan kemahiran, mutu dan nilai sumber manusia dalam industri tersebut, dan juga melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berkelayakan, serta mempunyai daya produktiviti tinggi, dan seterusnya boleh menjana pendapatan tinggi.

Sarawak, kata beliau, telah dipilih sebagai tapak pelaksanaan projek perintis itu memandangkan universiti tersebut mempunyai kampus cawangan di Kuching, sementara negeri ini juga kaya dengan sumber-sumber pelancongan.

Tambah beliau, universiti tersebut akan memulakan pusat kecemerlangan bagi pengurusan pelancongan dan hospitaliti di kampus Sarawaknya, sementara UCSI Group yang memiliki universiti tersebut sedang membangunkan hotel-hotel lima bintang di Kuching dan Kuala Lumpur, selain di Bandar Springhill (Negeri Sembilan), dan para pelajar di bawah EPP 10 akan mendapat latihan di hotel-hotel itu.

Di Sarawak, hotel tersebut akan dibina berdekatan Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dengan kos RM200 juta.

Ia adalah salah satu dari 133 buah projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan EPP 10 merupakan salah satu dari empat kelompok di bawah satu dari 12 NKEA, iaitu pendidikan, sementara tiga lagi kelompok adalah perbankan Islam, kesihatan dan kejuruteraan lanjutan.

Pengambilan pertama bagi Model Pembelajaran Berasaskan Kerja bagi EPP 10 akan bermula pada bulan Mei 2011, dengan sasaran pengambilan 100 orang pelajar, dan kelas perintis di Sarawak diharap dapat menjadi model bagi negeri-negeri lain.

Projek itu, yang mempunyai objektif untuk mewujudkan taraf nasional bagi tenaga kerja hospitaliti dan memperbaiki latihan dan perhubungan di kalangan institusi pendidikan dan majikan sedia ada, juga diharapkan dapat menarik lebih ramai pekerja ke industri pelancongan dan hospitaliti dengan mempertingkatkan status dan tahap pendapatan dalam industri berkenaan.

YB Datuk Seri Mohamed Khaled berkata demikian pada majlis pelancaran yang turut dihadiri oleh Menteri Muda Pelancongan Sarawak, YB Datuk Talib Zulpilip, Pengerusi Kumpulan UCSI Datuk Peter Ng serta Pengerusi Pasukan Pengurusan Bebas EPP10 Dr Wong Kong Yew, EPP 10 adalah contoh terbaik kerjasama rapat di antara sektor-sektor awam dan swasta.

Pelaksanaan EPP 10 ditadbirkan oleh sebuah kumpulan pengurusan bebas yang termasuk para pegawai dan ahli-ahli akademik dari Kementerian Pelancongan dan Warisan, SATT College, Asia University, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Sabah, Kampung Budaya Sarawak, Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), selain dari UCSI University dan BCCK.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article