kerajaan dalam ETP
Kerajaan akan memberikan penekanan kepada rakyat yang tinggal di luar bandar dalam pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator YB Datuk Seri Idris Jala.
Kata beliau, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), berkata ETP, yang akan memacu Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi, akan dipastikan merangkumi keseluruhan rakyat Malaysia, termasuklah mereka yang tinggal di luar bandar.
YB Datuk Seri Idris yang berkata demikian semasa pembentangan beliau dalam Majlis Perasmian Hari Terbuka ETP yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching pada 4 Oktober lalu, juga memberitahu 31 peratus atau 8.7 juta penduduk Malaysia masih tinggal di kawasan luar bandar.
2.5 juta, atau 22 peratus dari jumlah berkenaan adalah mereka yang tinggal di kawasan luar bandar negeri Sarawak.
Tambah beliau, format ETP (Economic Transformation Program) bagi Sarawak berbeza dari negeri-negeri lain dalam Malaysia, seperti juga negeri-negeri tersebut, yang berdasarkan kepada keadaan, kedudukan, kesesuaian serta kepentingannya bagi negeri-negeri berkenaan.
“Polisi-polisi ETP adalah luas dan menyeluruh di seluruh Malaysia, tetapi sekiranya kita melihat ke setiap negeri, perlu ada unsur penyesuaian bagi memenuhi keperluan tertentu negeri-negeri tersebut,” kata YB Datuk Seri Idris. “Pendekatan-pendekatan kerajaan negeri berkaitan SCORE adalah relevan untuk Sarawak, sementara sebagai contohnya, kerajaan negeri Johor pula harus memenuhi keperluan bagi projek Wilayah Pembangunan Iskandar.”
Jelas beliau, adalah amat penting Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dari sudut pandangan strategik yang lebih luas, namun dalam peringkat pelaksanaan projek, ianya perlu sesuai dengan keperluan setempat.
Beliau juga berkata sebenyak 25 Projek Permulaan (EPP), dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) yang dianggarkan akan mencecah sebanyak RM66 bilion pada 2020, dijangka akan mewujudkan 323,596 peluang pekerjaan bagi masyarakat di luar bandar.
“Peluang-peluang pekerjaan itu akan membantu untuk memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar di negara ini, selain dari mengurangkan penghijrahan luar bandar ke bandar,” kata YB Datuk Seri Idris.
EPP (Entry Point Project) dalam pengeluaran minyak kelapa sawit, pertanian, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, kandungan komunikasi dan infrastruktur, beliau menjelaskan, akan memimpin usaha-usaha ETP bagi memastikan kekayaan dan kesejahteraan negara dapat dikongsi bersama dengan masyarakat luar bandar Sarawak.
“ETP adalah kemuncak segala usaha yang menyeluruh bagi membangunkan agenda ekonomi kerajaan, melalui Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10), Model Ekonomi Baru (NEM) dan prinsip-prinsip 1 Malaysia, Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan,” kata beliau pula mengenai ETP.
YB Datuk Seri Idris berkata lagi, lain-lain Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) sektor perusahaan seperti yang telah dikenal pasti dalam RMK10 adalah perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, pendidikan serta kesihatan.
NKEA adalah satu penjana kegiatan ekonomi yang berpotensi untuk menyumbang secara langsung dan harfiah kepada jumlah pertumbuhan ekonomi yang terbukti.
Mengenai Sarawak, YB Datuk Seri Idris berkata negeri ini akan mendapat faedah dari semua 11 NKEA dalam sektor perusahaan di bawah ETP serta 68 EPP, dengan tumpuan diberikan kepada sektor-sektor minyak, gas dan tenaga, elektrikal dan elektronik, minyak sawit dan pertanian.
Beliau juga berkata perlu adanya kesinambungan usaha-usaha di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Ini kerana projek-projek di bawah ETP juga bergantung kepada adanya bekalan tenaga yang banyak dan berkos rendah di Sarawak. Mengekalkan pengeluaran minyak dan gas merupakan tiga EPP di bawah NKEA minyak, gas dan tenaga, mempunyai hubungan langsung Sarawak, iaitu menghidupkan semula medan-medan minyak dan gas yang sedia ada, pengambilan minyak yang lebih baik (enhanced oil recovery), membangunkan medan-medan kecil melalui pendekatan-pendekatan yang inovatif dan peningkatan peluang-peluang penjelajahan,” beliau berkata.
ETP, jelas beliau, mensasarkan pertumbuhan GNI hampir tiga kali ganda dari RM660 bilion pada 2009 hingga RM1.7 trilion pada 2020, dengan peningkatan GNI per kapita dari RM23, 700 kepada RM48, 000, memenuhi tanda aras sebuah negara berpendapatan tinggi menurut Bank Dunia, di mana negara dijangka menunjukkan perkembangan GNI sebanyak enam peratus antara 2011 hingga 2020 bagi mencapai sasaran tersebut.
YB Datuk Seri Idris memberitahu lagi, ETP akan menjana pemacuan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dengan 131 EPP dan 60 peluang perniagaan.
“ETP adalah sebuah program bersungguh-sungguh oleh kita, dan bukannya suatu rancangan semata-mata. Ia adalah perancangan ekonomi teliti bagi Malaysia, yang telah diwujudkan bersama oleh sektor awam dan kerajaan, dan ia menandakan perubahan dasar dalam pendekatan ke arah perancangan ekonomi bagi mencapai status negara maju menjelang 2020,” kata beliau.
Malaysia, kata YB Datuk Seri Idris, memerlukan satu transformasi ekonomi yang lengkap dan radikal, dan tidak boleh lagi bergantung kepada jentera pertumbuhan tradisional.
“Jika kita meneruskan model ekonomi yang ada sekarang, kita mengalami risiko untuk tersangkut dalam perangkap pendapatan sederhana dan tidak dapat menyokong ekonomi berpendapatan tinggi,” beliau berkata lagi.
Menjelang 2020, Malaysia bukan sahaja akan mempunyai GNI per kapita yang tinggi, tetapi juga ciri-ciri utama sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, sekali gus meminda struktur ekonomi negara, jelas beliau.
“Perkhidmatan akan mengambil suatu bahagian ekonomi yang lebih besar iaitu 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020, meningkat dari 58 peratus pada tahun 2010, sementara pengurusan domestik akan menjadi pemacu pertumbuhan utama, naik dari 54 peratus kepada 59 peratus KDNK dalam tempoh yang sama,” kata YB DatuK Seri Idris.
ETP diramalkan akan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan tambahan di mana 63 peratus darinya adalah dalam segmen pendapatan sederhana dan tinggi, berbanding hanya 43 peratus sekarang, dan secara keseluruhannya akan menjana pertumbuhan besar dalam pasaran pekerjaan, peralihan ke arah pekerjaan berpendapatan lebih tinggi dan pengukuhan kemahiran asas.
“Kombinasi pekerjaan-pekerjaan baharu yang diwujudkan oleh NKEA, dan pertumbuhan upah benar akan membawa keluar kira-kira 600 juta pekerja dari lingkungan pendapatan rendah. Sehubungan itu, peningkatan 64 peratus dan 400 peratus masing-masing dalam pekerjaan pendapatan sederhana dan tinggi diharap akan dapat menarik minat 150,000 rakyat berkemahiran tinggi Malaysia yang bekerja di luar negara untuk kembali, selain dari kedatangan para profesional asing,” kata YB Datuk Seri Idris.