, permudahkan urusan Perolehan Kerajaan
Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan (Portal MyPROCUREMENT, http://myprocurement.treasury.gov.my) adalah gerbang utama maklumat perolehan Kerajaan, diuruskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, yang akan memaparkan senarai iklan tender dan keputusan tender terkini bagi setiap Kementerian.
Ia juga merupakan saluran maklumat mengenai dasar, prinsip dan tatacara semasa perolehan Kerajaan. Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Senator YB Datuk Seri Idris Jala telah berkata baru-baru ini, 3,712 kontrak Kerajaan telah disiarkan dalam talian di portal tersebut, nyata menandakan satu kejayaan besar dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dalam kata-kata aluan beliau dalam portal tersebut, berkata sejajar dengan perkembangan pesat dunia komunikasi sekarang, MyPROCUREMENT diwujudkan sebagai mekanisme untuk meningkatkan ketelusan dalam sistem perolehan Kerajaan serta menjadi medium utama untuk menyebarkan maklumat perolehan Kerajaan kepada orang ramai.
“Menerusi portal ini, maklumat keputusan-keputusan perolehan Kerajaan akan dipaparkan untuk pengetahuan umum. Memandangkan Kementerian Kewangan telah lama melaksanakan konsep “decentralization” dalam perolehan di mana Kementerian-Kementerian diberi kuasa menguruskan sendiri perolehan, maka portal ini berperanan mengumpul maklumat perolehan daripada semua Kementerian,” kata beliau.
Dalam fasa pertama MyPROCUREMENT, kata YAB Dato’ Sri Mohd Najib dalam kata-kata aluan beliau itu, portal itu akan mengemukakan senarai iklan, keputusan tender dan lain–lain, maklumat berkaitan perolehan seperti peraturan perolehan, proses tender dan sistem pendaftaran syarikat, sementara di masa akan datang, ianya akan dikembangkan lagi dengan memuatkan lebih banyak maklumat berkaitan Perolehan Kerajaan.
“Saya yakin MyPROCUREMENT ini dapat meningkatkan ketelusan dan memudahkan urusan berkaitan aktiviti Perolehan Kerajaan, selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk melangkah ke era pentadbiran baru. Adalah diharapkan agar portal ini menjadi sumber rujukan yang berguna dan semoga maklumat yang dipaparkan dapat memberi penerangan yang berkesan,” beliau berkata.
Kementerian Kewangan, agensi Kerajaan Pusat yang menetapkan dasar pengurusan kewangan Kerajaan termasuk perolehan Kerajaan, memberikan kuasa kepada Menteri Kewangan bagi menyelia dan menyelaras perolehan Kerajaan.
Bagi tujuan meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan agensi-agensi Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia mengamalkan konsep desentralisasi melalui penurunan kuasa kepada Pegawai Pengawal untuk membuat keputusan.
Untuk mempertimbangkan dan menyetuju terima tender, pihak-pihak yang berkuasa untuk meluluskan tender adalah ditetapkan pada peringkat Kementerian Kewangan dan juga peringkat Lembaga Perolehan Kementerian/Jabatan Kerja Raya.
Perolehan Kerajaan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kerja (Perolehan kerja melibatkan kerja-kerja pembinaan serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal), Bekalan (Perolehan bekalan merangkumi barangan/peralatan yang dibekalkan bagi sesuatu program, aktiviti atau projek Kerajaan) dan Perkhidmatan (Perolehan berkaitan khidmat tenaga manusia atau kepakaran untuk melaksanakan dan menyiapkan sesuatu projek).
Dasar-dasar Perolehan Kerajaan termasuklah menggalakkan pertumbuhan industri tempatan melalui penggunaan bahan atau barangan tempatan, serta penggunaan sektor perkhidmatan tempatan, mempertingkatkan keupayaan perusahaan tempatan melalui pemindahan teknologi, menggalakkan penglibatan usahawan Bumiputera, serta memelihara dan mempertahankan kepentingan dasar perolehan Kerajaan bagi mencapai objektif negara dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
Dari segi objektif pula, Perolehan Kerajaan disasarkan dapat menguruskan perolehan secara cekap dan berkesan, mendapatkan harga yang paling menguntungkan Kerajaan, menggalakkan pertumbuhan industri tempatan dan penggunaan bahan/barangan/perkhidmatan tempatan, menggalakkan pemindahan teknologi yang bersesuaian dengan kehendak semasa sektor industri negara, selain dari sebagai alat untuk mencapai dasar-dasar negara.
Ia juga berprinsipkan akauntabiliti awam, dengan segala urusan perolehan yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan, selain dari diuruskan secara telus dengan semua dasar, peraturan dan proses perolehan yang dilaksanakan hendaklah jelas, diketahui dan difahami umum serta mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan.
Prinsip-prinsip Perolehan Kerajaan juga termasuk nilai faedah terbaik, di mana pengurusan perolehan hendaklah memberi pulangan yang terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan, membolehkan saingan terbuka dengan proses perolehan mestilah memberi peluang terbuka kepada semua pihak yang layak bersaing, serta adalah adil dan saksama, dengan sesuatu perolehan itu dipelawa, diproses dan dipertimbangkan dengan adil dan saksama.
Dari segi integriti Perolehan Kerajaan, ia menjamin kerahsiaan maklumat tender dengan segala dokumen tender diklasifikasikan sebagai Sulit, serta tanggungjawab mengisytiharkan kepentingan terletak hak dipentingkan dalam urusan memproses tender, dengan mana-mana pegawai yang terlibat dalam memproses sesuatu tender hendaklah memastikan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa kepentingan persendirian atau kepentingan terletak hak mengenai tender itu.
Di samping itu, selaras dengan usaha Kerajaan untuk mencegah dan membendung perlakuan rasuah dalam Perolehan Kerajaan, agensi Kerajaan dikehendaki memasukkan klausa peringatan mengenai kesalahan rasuah dalam dokumen perolehan Kerajaan di peringkat penyediaan dokumen pelawaan tender.