untuk penuhi aspirasi rakyat:PM
Kata beliau semasa membentangkan bajet tersebut, dalam membantu membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju, para penjawat perkhidmatan awam yang berjumlah 1.2 juta orang harus sentiasa memperbaiki diri mereka bagi menggalakkan produktiviti.
Beliau juga memberitahu yang para penjawat awam juga adalah komponen penting dalam usaha negara ini bagi mencapai wawasannya.
“Tanpa pelaksana-pelaksana polisi (kerajaan) yang lancar, berkesan dan dinamik, wawasan negara akan hanya kekal impian sahaja,” kata YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Berkaitan dengan itu, dalam usaha kerajaan menyediakan rangka kerja penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan holistik di samping mengambil kira maklum balas dari para kakitangan perkhdmatan awam sendiri, Kerajaan telah bersetuju untuk memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), dan akan menggantikannya dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai menjelang Jun 2011.
Selain dari itu, Kerajaan, kata beliau, menghargai sumbangan dan komitmen penuh para penjawat awam dalam memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif Kerajaan termasuklah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Oleh itu, antara lain Kerajaan akan membantu meringankan beban mereka berkenaan perbelanjaan persekolahan anak-anak dengan memberikan bantuan kewangan khas yang berjumlah RM500 yang akan dibayar pada Disember 2010 ini kepada semua penjawat awam dari Gred 54 ke bawah, termasuk juga bagi pegawai-pegawai kontrak dan para pesara.
Khidmat para pegawai-pegawai khidmat singkat (PKS) bagi kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan juga akan dilanjutkan selama satu tahun dari Disember 2010.
Bagi membantu para penjawat awam memiliki rumah, selain dari memperbaiki syarat bagi pinjaman perumahan, Kerajaan juga membenarkan pembelian hartanah dari ibu bapa, anak-anak dan saudara penjawat awam.
Bagi Kumpulan Sokongan II untuk menambah baik rumah-rumah kos rendah mereka pula, jumlah pinjaman untuk tujuan itu dinaikkan dari RM10, 000 kepada RM20, 000.
Jumlah kelayakan maksimum bagi pinjaman perumahan juga dinaikkan dari RM360, 000 ke RM450, 000.
Semua perubahan berkenaan para penjawat awam akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2011.
Tiga lagi strategi yang disenaraikan bagi Bajet 2011 adalah menggalakkan pelaburan swasta, menambah baik pembangunan modal insan dan memperbaiki taraf hidup rakyat.
“Bagi mencapai status negara maju, kita tidak boleh leka. Kita harus mengubah cara pemikiran kita. Keadaan sekarang sudah berubah. Kejayaan memerlukan perubahan drastik, bukannya secara beransur-ansur. Ia memerlukan lonjakan nyata,” kata YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga mengingatkan perubahan adalah amat perlu, jika tidak Malaysia akan ketinggalan.
Kata beliau, Bajet 2011 yang bertemakan ‘Transformasi ke arah Negara Maju dan Berpendapatan Tinggi’ menekankan kepada usaha-usaha mengubah negara ini menjadi sebuah ekonomi yang maju dan berpendapatan tinggi dengan pembangunan yang menyeluruh dan mapan yang dijana sektor swasta, di samping tumpuan kepada kebajikan rakyat.
Bajet 2011 juga dirancang dengan azam yang teguh bagi membawa perubahan nyata untuk pembangunan negara, di samping kesejahteraan rakyat, meliputi aspek-aspek ekonomi, sosial dan politik.
“Kerajaan berpegang kepada konsep 1Malaysia sebagai falsafah asas bagi menjana pembangunan negara. GTP dan ETP akan menjadi kuasa pembimbing dalam usaha ini. Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Model Ekonomi Baru (MEB) dengan lapan Inisiatif Perubahan Strategiknya akan menjadi rangka kerja bagi transformasi ekonomi negara,” kata beliau.
Kata beliau lagi, kerajaan komited ke arah menggalakkan lagi proses transformasi dengan memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), NKRA dan Bidang Utama Ekonomi Nasional (NKEA).
“Untuk melaksanakan semuanya, saya mencadangkan peruntukan sebanyak RM212 bilion dalam Bajet 2011, iaitu 2.8 peratus lebih tinggi dari peruntukan bagi tahun ini,” kata Perdana Menteri.
Berkenaan strategi menggalakkan pelaburan swasta, Perdana Menteri berkata masanya sudah tiba bagi sektor swasta untuk memainkan peranan mereka sebagai penjana pertumbuhan.
“Untuk ini, Kerajaan telah mengumumkan dan merancangkan RMK10 yang bermula pada tahun hadapan akan memberikan penekanan kepada peranan sektor swasta,” jelas YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Pada tahun 2011, pelaburan swasta dijangkakan akan bertambah sebanyak 12.5 peratus kepada RM86 bilion, dan dalam pelaksanakan 12 NKEA, dijangkakan akan mengumpulkan pelaburan berjumlah RM1.5 trilion (92 peratus dari pembiayaannya) dan akan menawarkan 3.3 juta peluang pekerjaan.
Dalam penggalakkan pelaburan swasta juga, tempias dari Bajet 2011 akan dirasakan oleh para penduduk Sarawak.
Bagi menggalakkan sektor pertanian, kerajaan telah memperuntukkan RM3.8 bilion untuk tahun hadapan bagi meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan lebih tinggi dalam sektor berkenaan, dan ini termasuklah bagi pembangunan Zon Akuakultur bersepadu besar-besaran di Batang Ai dan Tanjung Manis, yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM252 bilion, selain dari di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah.
Produk-produk yang dihasilkan nanti dijangkakan akan berkualiti tinggi di samping memenuhi standard-standard industri pertanian akuakultur.
Sarawak juga akan menerima peruntukan sebanyak RM93 juta, yang akan disalurkan untuk pembangunan telekomunikasi, bekalan air serta pembinaan lapangan terbang dan jalan raya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), di samping juga pembinaan taman-taman industri makanan halal.
“Pembangunan koridor dan serantau juga akan dipercepatkan, memberikan penekanan kepada beberapa kelompok yang mempunyai kelebihan dari segi keupayaan dan geografi. Usaha-usaha bagi membangunkannya akan menumpukan kepada projek-projek usaha sama di antara pelabur dalam dan luar negara, di samping industri-industri berimpak tinggi dan berdaya saing. Untuk itu, kerajaan memberikan peruntukkan sebanyak RM850 juta bagi penyediaan sokongan infrastruktur,” kata Perdana Menteri.
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga berkata aset terpenting sesebuah negara itu adalah modal insannya.
“Terbukti sebuah negara yang tidak mempunyai sumber asli namun berjaya menguruskan modal insannya akan mencapai kejayaan yang lebih besar dari sebuah negara yang bergantung kepada sumber aslinya. Malaysia tidak harus bergantung sangat kepada sumber aslinya yang semakin berkurang. Biarpun kita mampu menguruskan sumber asli kita, kita mempunyai tanggungjawab untuk merancang pembangunan modal insan kita secara mapan. Jika tidak, kita tidak akan dapat menggunakan sepenuhnya potensi negara,” jelas beliau.
Modal insan yang berkualiti, berkemahiran, berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah satu syarat ke arah menjadi sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi.
“Oleh itu, pendidikan dan latihan akan disusun semula serta ditambah baik. Untuk ini, sejumlah RM29.3 bilion diperuntukkan bagi Kementerian Pendidikan, RM10.2 bilion bagi Kementerian Pendidikan Tinggi dan RM627 juta bagi Kementerian Sumber Manusia,” kata Perdana Menteri mengenai satu lagi strategi Bajet 2011.
Beliau juga berkata mencapai taraf ekonomi maju dan berpendapatan tinggi tidak akan bermakna sekiranya taraf hidup rakyat merosot.
“Dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, kita harus mengimbangi pembangunan sosio-ekonomi secara menyeluruh. Adalah penting bagi kita untuk mencapai tahap pembangunan yang seimbang serta memastikan mutu kehidupan rakyat yang lebih baik,” jelas YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Untuk memperbaiki taraf hidup rakyat pula, beliau berkata Kerajaan tetap komited untuk membawa pembangunan kepada masyarakat luar bandar, biarpun 60 peratus rakyat negara ini adalah mereka yang tinggal di kawasan bandar.
“Dalam menjadi sebuah negara maju, kerajaan tidak akan mengabaikan penduduk luar bandar. Projek-projek dan program-program pembangunan bagi memperbaiki taraf kehidupan penduduk luar bandar akan diberikan keutamaan. Sejumlah RM6.9 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan prasarana asas seperti bekalan air dan elektrik, serta juga jalan-jalan di luar bandar,” beliau menjelaskan.
Antara projek-projek utama yang akan dilaksanakan melibatkan peruntukan RM2.1 bilion bagi membina dan menaik taraf jalan-jalan luar bandar di Sarawak dan Sabah, serta RM1.2 bilion peruntukan bagi pembekalan air dan elektrik di negeri ini.
Turut akan dilaksanakan adalah program bantuan perumahan bagi memberikan rumah-rumah selesa bagi golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar degngan peruntukan RM300 juta, termasuk bagi program pembinaan dan pembaikian 12,000 buah rumah di seluruh negara, terutamanya di Sarawak dan Sabah.
Bagi membantu rakyat di kawasan luar bandar untuk mendaftar taraf kerakyatan mereka juga, termasuk di Sarawak, Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan diwujudkan.
Dalam Bajet 2011 juga, peruntukan sebanyak RM15.2 bilion disediakan bagi membina hospital-hospital baru, menambah jumlah doktor dan jururawat, selain dari mendapatkan bekalan ubat dan kelengkapan kesihatan, yang akan menjamin semua rakyat Malaysia mampu mendapatkan jagaan kesihatan berkualiti.
“Strategi dan program dalam Bajet ini telah dirangka untuk memenuhi aspirasi rakyat. Kita ingin membina sebuah negara di mana semua rakyatnya boleh menikmati faedah dari pembangunan. Kita inginkan sebuah Malaysia dengan semua rakyatnya berjaya hasil dari kerja kuat dan keazaman,” kata YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak