Di Sarawak Sehingga 2012
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM5.68 bilion untuk pembangunan luar bandar di Sarawak pada tahun ini (2010) sehingga 2012.
Peruntukan tersebut adalah bagi melaksanakan projek-projek jalan luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, bekalan air luar bandar dan program bantuan rumah luar bandar.
Perkara ini dinyatakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika menggulung perkara-perkara yang dibangkitkan bagi kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada peruntukan ini di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan luar bandar di Sarawak.
Menjelas lebih lanjut, di bawah NKRA RM2 bilion telah diluluskan bagi pelaksanaan 165 buah projek jalan luar bandar di Sarawak dan daripada jumlah tersebut RM233.84 telah dibelanja daripada RM380.55 juta yang diperuntukan tahun ini.
Manakala untuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif sejumlah RM56.94 juta diperuntukkan untuk projek solar hibrid di kawasan Lawas, Sri Aman, Mukah, Kapit dan Baram bagi memberi kemudahan 342 buah keluarga.
Selain itu, KKLW juga telah memperuntukkan RM120 juta untuk program bantuan rumah membabitkan pembinaan dan pemulihan sebanyak 6,137 rumah.
Bagi tahun ini, sejumlah RM16.29 juta telah diluluskan untuk projek ameniti sosial (PAMS) membabitkan 496 projek termasuk pembinaan dewan, balai raya, jambatan kecil dan gelanggang permainan untuk kegunaan masyarakat luar Bandar.
Mengenai Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), pula beliau menjelaskan kerajaan pusat telah meluluskan 6,750 hektar untuk ditanam kelapa sawit oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Kerajaan pusat juga menurut beliau, telah meluluskan peruntukan RM2.70 juta geran untuk pembinaan infrastruktur di kawasan projek baru penanaman sawit terbabit.
Tambah beliau lagi, sejumlah 3,000 hektar disasarkan untuk dibangunkan sebagai kawasan baru tanaman kelapa sawit menjelang tahun 2011 manakala 3,750 lagi akan dilaksanakan pada 2012.