- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Penjawat Awam Digesa Tingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan

Must read

(GAMBAR) YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Datuk Md Yahaya Basimin.

Dalam memenuhi kehendak rakyat, penjawat awam hendaklah sentiasa mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dengan lebih berkesan, mantap dan cepat.

Demikian gesaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal kepada lebih 500 orang penjawat awam yang hadir ketika beliau merasmikan Seminar Cabaran dan Hala Tuju Transformasi Perkhidmatan Awam bagi Ketua-Ketua Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Miri pada 14 Jun 2014.

Seminar yang dianjurkan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah usahasama antara Jabatan Perkhidmatan Awam selaku penganjur utama dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, INTAN Wilayah Sarawak (INSARA), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Cawangan Sarawak dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Sarawak.

Tujuan utama penganjurannya adalah untuk mendedahkan penjawat awam mengenai Tranformasi Perkhidmatan Awam selaras dengan agenda transformasi negara di samping bertindak sebagai platform perkongsian ilmu menerusi sesi interaktif.

Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, dalam mencapai kemakmuran yang berkekalan, transformasi perkhidmatan awam harus dilakukan dengan pantas.

Jika dibandingkan dengan dahulu, kerajaan pada hari ini lebih bertindak sebagai pemudahcara dan bukannya sekadar memberi perkhidmatan. Fokusnya juga lebih kepada keberhasilan yang besar dan pantas berbanding dahulu yang hanya memberi fokus kepada input dan proses, tambah beliau.

Keadaan ini turut memberi kesan kepada kepimpinan dalam perkhidmatan awam di mana konsep berteraskan servant leadership perlu diadaptasi dan tidak lagi berteraskan strong leadership.

Selain itu, beliau turut menggesa penjawat awam agar membudayakan lima kriteria utama iaitu berilmu, kebolehpercayaan, amalan kerja terbaik, semangat patriotik dan budaya keberhasilan.

Kerangka Kerja Tranformasi Perkhidmatan Awam (KTJPA) merupakan salah satu komponen penting dalam usaha kerajaan memastikan Malaysia menjadi negara maju selari dengan Wawasan 2020 yang berpaksikan kepada 5 teras strategik iaitu Mendaya Upaya Bakat, Merekayasa Organisasi, Merakyatkan Penyampaian Perkhidmatan, Merangkum dan Sepunya serta Membudaya Nilai.

Inisiatif transformasi ini melibatkan seramai 15,026 orang penjawat awam di Sarawak yang berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Negeri merangkumi 3,289 penjawat yang berkhidmat di Pihak Berkuasa Tempatan dan 5,085 yang berkhidmat di Badan-badan Berkanun Negeri mewakili 12 kementerian, 17 jabatan, 11 pejabat Residen, 31 pejabat daerah, 24 pihak berkuasa tempatan dan 20 badan berkanun negeri.

Hadir sama pada majlis perasmian seminar tersebut ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Datuk Md Yahaya Basimin, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) YBhg Dato‘ Seri Zainal Rahim Seman, Residen Bahagian Miri Encik Antonio Kahti Galis, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan dan Kualiti Jabatan Ketua Menteri Dr. Sabariah Putit, ketua-ketua jabatan dan badan berkanun persekutuan Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article