Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani melancarkan Laman Web Rasmi Centre of Technical Excellence (CTE) Sarawak – www.cte-sarawak.my pada 8 Julai 2014 di Wisma Bapa Malaysia.
CTE merupakan sebuah institusi teknikal baru yang telah dijenamakan semula dengan sebelum ini dikenali sebagai Pusat Latihan Pembangunan Belia (PLPB) dan kini terletak di bawah pentadbiran Yayasan Sarawak. CTE yang pertama seumpamanya yang dikendalikan kerajaan negeri akan menyediakan latihan kemahiran bersesuaian kepada keperluan pembangunan negeri Sarawak.
Pusat yang terletak di Jalan Sultan Tengah, Santubong, Kuching akan mengkhusus dalam bidang industri minyak dan gas, elektrikal dan elektronik, pembinaan dan pembuatan yang akan memenuhi keperluan pihak industri. Bagi permulaan, ia akan mempunyai kumpulan perintis seramai 80 orang pelajar.