Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu anak Numpang mendengar taklimat daripada salah seorang pegawai dari Kementerian Kerja Raya Malaysia mengenai lokasi pembinaan Jambatan Batang Samarahan setelah beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah jambatan tersebut di Kota Samarahan pada 6 Februari 2015.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan YB Dato Sri Michael Manyin anak Jawong, Menteri Muda Pembangunan Belia dan Menteri Muda Perumahan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerjaraya YB Dato’ Sri Haji Fadilllah Haji Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Hajah Nancy Shukri serta beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen yang lain.
Jambatan sepanjang 774 meter bernilai RM93.88 juta itu bakal menggantikan perkhidmatan feri sedia ada dan akan menjadi nadi utama yang menghubungkan Asajaya ke Kota Samarahan serta bandar raya Kuching.
Dengan adanya jambatan tersebut, perjalanan dari Asajaya ke Kota Samarahan dan Kuching mengambil masa lebih singkat iaitu kira-kira 30 ke 45 minit berbanding menaiki feri.
Jambatan Batang Samarahan yang menyediakan laluan dua lorong dua hala, pejalan kaki dan jalan tuju sepanjang 3km bakal dibina di utara Kampung Tambey, Kota Samarahan.
Projek pembinaan dijangka siap pada 2018 dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 270,000 penduduk.