Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek meneliti peta tapak pameran ketika membuat tinjauan persiapan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) 2015 Peringkat Kebangsaan di perkarangan Dewan Suarah Kota Samarahan pada 27 Oktober 2015.
Menemani beliau ialah Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pemodenan Pertanian Dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak, YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu anak Numpang dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani YB Anthony Nogeh anak Ngumbek.
Buat julung kalinya Sarawak menjadi tuan rumah sambutan di peringkat kebangsaan pada tahun ini yang akan diadakan pada 27 November hingga 3 Disember.
Ketika membuat tinjauan, beliau amat berpuas hati dengan segala persiapan oleh pihak Kementerian Industri Asas Tani Malaysia dan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak selaku penganjur bersama sambutan HPPNK 2015.
Menurut beliau, HPPNK 2015 akan menjadi satu acara yang sangat besar dan bermakna buat rakyat negeri Sarawak kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan pelbagai aspek serta potensi dari segi pertanian dan industri asas tani di negeri Sarawak.
Beliau menjangkakan seramai lebih kurang 10,000 orang akan hadir pada hari perasmian.
HPPNK yang diadakan setiap tahun adalah satu inisiatif kerajaan untuk mengiktiraf serta menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan.