Majlis Perasmian Sambutan Hari Penjara Ke-226 Peringkat Kebangsaan akan berlangsung pada 20 Februari 2016 di Padang Merdeka, Kuching pada pukul 2 petang.
Menurut Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Ajidin Haji Salleh, Majlis Perasmian Sambutan Hari Penjara tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Bin Haji Satem.
“Peneraju Perkhidmatan Korektif” telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Penjara ke-226 sesuai dengan visi Jabatan Penjara yang berusaha untuk melakukan pemulihan yang berkesan terhadap penghuni penjara.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan seperti perbarisan masuk padang dengan pancaragam, persembahan kesenian jabatan, pertandingan mewarna, permainan dart, kempen derma darah, penyampaian pingat, anugerah, sijil penghargaan dan sebagainya.
Pameran dan jualan produk penjara juga turut diadakan bermula pada 18 hingga 21 Februari 2016 sebagai inisiatif Jabatan Penjara untuk menyampaikan “mesej dari penjara” untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar menjauhi kegiatan jenayah.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Jalan Puncak Borneo Kuching pada 15 Februari 2016.
Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Penjara Sarawak, Mohamad Rosidek Musa dan Timbalan Penguasa Penjara, Roy Martin.