Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan, YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg mempengerusikan sidang media program Sejiwa Senada yang akan diadakan di Daerah Saratok pada 26 hingga 28 Februari 2016.
Menurut YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Majlis Perasmian pada 28 Februari akan dihadiri oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan Ketua Menteri, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem.
Beliau menyifatkan kehadiran kedua-dua pemimpin ini sangat penting kerana ia menggambarkan jalinan kerjasama yang erat diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.
Misalnya, Kerajaan Pusat memberi sokongan kuat kepada Kerajaan Negeri dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar termasuk pembinaan projek Pan Borneo Highway yang akan menjadi jaringan untuk membangunkan pusat luar bandar.
Pada sidang media tersebut, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan itu turut memaklumkan bahawa Kerajaan Pusat telah meluluskan projek pembinaan jambatan Batang Lupar.
Jambatan tersebut akan menghubungi jalan pesisiran dan membuka kawasan-kawasan di pesisiran termasuk di Kabong, Saratok, Lingga terutama di kampung-kampung dan pekan-pekan yang berdekatan.
Sehubungan itu, program Sejiwa Senada kali ini dijangka akan dihadiri sejumlah 80,000 orang pengunjung dari sekitar daerah Saratok termasuk dari daerah Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Pusa dan Kabong.