- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri 2016

Must read

Menteri Kemudahan Awam YB Datuk Dr Stephen Rundi Utom melepaskan Konvoi Kembara Jalur Gemilang yang akan menjelajah ke seluruh Sarikei sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2016 yang diadakan di perkarangan Dewan Suarah Sarikei pada 16 Ogos.

Turut hadir Menteri Muda Alam Sekitar dan Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan YB Datuk Len Talif Salleh, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perladangan YB Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Kesenian dan Kebudayaan merangkap Menteri Muda Undang-undang Adat dan Bumiputera YB Datuk John Sikie Tayai.

Konvoi Kembara Jalur Gemilang yang disertai seramai 50 orang daripada 20 buah kenderaan daripada Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarikei, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jabatan Kesihatan telah bermula pada 13 Ogos lalu dan telah melawati empat daerah, iaitu Sarikei, Meradong, Pakan dan Julau.

Konvoi seterusnya akan singgah ke Tanjung Manis, Matu dan Daro sebelum berakhir pada 20 Ogos akan datang.

Dalam ucapan beliau, YB Datuk Dr Stephen Rundi berkata, semangat cintakan tanah air seharusnya sentiasa disemai dan dipupuk dalam jiwa masyarakat di negeri ini bagi menghindari generasi akan datang menjadi bangsa yang lemah dan dikuasai oleh kepentingan peribadi.

Program anjuran Kerajaan Negeri bersama Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak tersebut diadakan bagi memupuk semangat cintakan negara di samping memelihara perpaduan, kestabilan dan memastikan pembangunan pesat negeri dan negara dapat dicapai terutamanya di luar bandar serta meningkatkan lagi kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka kepada negara dan bangsa.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri menambah, perpaduan rakyat di negeri ini menjadi satu keistimewaan kepada masyarakat luar di mana rakyat dapat berkumpul dan hidup dalam suasana muhibah dan penuh kemesraan.

YB Datuk Dr Stephen Rundi juga menyeru supaya rakyat menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan bangunan-bangunan sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran kerana menurut beliau, bendera merupakan satu lambang kedaulatan bagi sesebuah negara yang merdeka.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh 12 orang anggota Tentera Laut Di Raja Malaysia yang diketuai Bintara Muda Shafudin Lamat dan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, wakil Ketua Masyarakat dan wakil Persatuan Bukan Kerajaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article