Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sarawak (Bahagian Penguatkuasaan) Tuan Assan Mohamad menerima skrol Ikrar Warga Kastam ketika berlangsung Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-35 2017 Peringkat Negeri di Wisma Kastam, Medan Raya, Petra Jaya, Kuching pada awal pagi tadi.
Majlis dihadiri seramai 250 orang termasuk jemputan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta kakitangan-kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak.
Tuan Assad turut menyampaikan perutusan daripada Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia YBhg Dato’ Sri Khazali Haji Ahmad yang menyeru warga kastam supaya mengukuhkan keupayaan diri, mengharmonikan kerja masing-masing secara berpasukan dan semangat setiakawan serta bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.
Sambutan tahunan tersebut diraikan bertujuan untuk menyemarak kesedaran tentang sumbangan Jabatan Kastam dalam memastikan perdagangan dunia bergerak merentasi sempadan negara masing-masing secara cekap, selamat serta menyumbang kepada kemakmuran sejagat.
Hari Kastam Sedunia turut disambut oleh pentadbiran-pentadbiran kastam di 180 buah negara anggota World Customs Organisation (WCO).
Pada tahun ini, WCO menetapkan tema ‘Analisis Data untuk Pengurusan Sempadan Berkesan’ sebagai menegaskan betapa pentingnya tindakan analisis data dijadikan sebagai salah satu elemen dalam merangka aktiviti-aktiviti penguatkuasaan kawalan sempadan negara.