- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Misi Usahawan Tani Kg. Nyalau

Must read


Cili yang ditanam hidup dengan subur Hasil daripada kolam ikannya

Semua peluang yang ada perlu direbut dan diterokai. Hanya dengan cara itu kita akan dapat maju seperti orang lain yang berpendidikan dan berjaya dalam hidup.

Demikian tegas En. Calun bin Ahat, 40 tahun, salah seorang usahawan tani di Kampung Nyalau Ulu yang mengusahakan pelbagai cabang aktiviti pertanian dalam masa yang sama.

Kegigihannya itu terserlah melalui usaha dan baktinya kepada tanah. Kini tanah itu pula telah mula mengembalikan penat lelah yang telah dicurahkannya selama ini.

Malah dia kini amat berbangga kerana menjadi penduduk kampung pertama memiliki kenderaan baru pacuan empat roda di kampungnya.

Sebelum ini, tidak sesiapapun penduduk kampung yang pernah terfikir akan ada penduduk kampung memiliki kenderaan sedemikian hasil daripada aktiviti pertanian. Apatah lagi dengan kedudukan kampung yang jauh di ulu dan agak terpisah dari arus pembangunan.

Tapi kini ia bagaikan mimpi yang telah menjadi realiti bagi En. Calun dan seluruh penduduk kampung. Kini semakin ramai yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda dan juga lori mengangkut sawit di kampung mereka.

Dahulu perjalanan dari Bandar Bntulu untuk sampai ke kampung terpaksa melalui jalan berbatu di ladang kelapa sawit yang memakan masa lebih kurang tiga jam. Itupun terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda yang tinggi kosnya.

Hari ini perjalanan ke Bintulu menggunakan Jalan Persisiran Pantai Tg. Kidurong – Bakam yang sejauh 86km, memakan masa tidak sampai sejam dengan tambang bas hanya RM9. Bas pula berulang-alik sebanyak tiga kali dalam sehari dan berhenti di jalan raya berhadapan pintu gerbang kampung.

Pembangunan Masuk Kampung

Kedudukan Kampung Nyalau Ulu yang jauh dari bandar sementara aktiviti pertanian yang hanya untuk sara hidup menyebabkan penduduk kampung itu agak ketinggalan dari menikmati kemudahan sempurna dan merasai arus pembangunan.

Penempatan penduduk dari suku Kadayan di Kampung Nyalau Ulu telah bermula pada era pemerintahan Rajah Brooke lagi. Ia dipercayai diteroka pada sekitar tahun 1920-an oleh En. Talib bin Tuah yang berasal dari Bekenu.

Penempatan itu bermula dari hanya lima buah keluarga yang kemudiannya berkembang sehingga mewujudkan pula Kampung Nyalau Ulu, Nyalau Tengah dan Nyalau Kuala.

Hari ini Kampung Nyalau Ulu didiami oleh 66 keluarga dengan penduduk seramai kira-kira 300 orang.

Sungguhpun jauh dari bandar, pihak kerajaan tetap berusaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Sebuah program pembangunan sosioekonomi kampung yang dikenali sebagai Pelan Pembangunan Kampung Bersepadu (VIDP) kemudiannya diperkenal oleh Unit Perancangan Negeri (SPU) di kampung itu.

Pada masa yang sama, Jabatan Pertanian turut membantu dengan memperkenal pelbagai projek pertanian dan penganjuran kursus kemahiran pertanian moden.

Usaha itu telah memberi pengetahuan dan kemahiran kepada para penduduk kampung. Namun aspek terpenting ialah beberapa siri kursus itu telah berjaya membuka minda para penduduk kampung khususnya golongan muda ke arah usahawan petani moden termasuk En. Calun sendiri.

Misi Seorang Usahawan

Sebelum bergiat dengan kegiatan pertanian, En. Calon pernah bekerja di syarikat pembalakan dan merantau ke bandar untuk bekerja di kilang selama 15 tahun.

Namun, pelbagai projek pembangunan yang mula dibawa masuk oleh pelbagai agensi kerajaan ke kampung mereka telah membuka matanya dan menarik minatnya untuk turut serta.

Menurutnya, pembangunan tanah untuk ladang kelapa sawit dan pelaksanaan projek jalan pesisir yang melalui kampungnya merupakan tarikan terkuat untuknya kembali ke kampung halaman.

Semenjak itu, dia juga menghadirkan diri ke pelbagai kursus keusahawanan dan pertanian anjuran pelbagai agensi di sekitar Bintulu dan di kampung mereka.

Malah, dia juga sentiasa mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pihak Pejabat Residen dan Daerah serta Jabatan Pertanian tentang perancangannya bagi membangunkan tanah untuk pertanian.

Justeru, komitmen yang ditunjukkan di samping hubungan rapatnya dengan kakitangan dari pelbagai agensi telah banyak membantunya mencapai misinya. Jabatan Pertanian misalnya banyak membantu dengan pemberian skim baja, anak ikan, benih buah-buahan dan sebagainya.

Kini dia mempunyai ladang sawit seluas 40 ekar, tanaman sayur dan cili (10,000 pokok cili) dari jenis ‘Bangi A1’ di kawasan seluas 10 ekar, pokok limau manis (2,000 pokok) di kawasan seluas 17 ekar serta enam kolam ikan yang menempatkan ikan jelawat dan patin (2 ekar).

Menurutnya, pokok cili yang ditanam telah membuahkan hasil sementara pokok limau manisnya dijangka mula berbuah pada tahun hadapan.

Malah, dia juga aktif mengambil kontrak mengangkut buah kelapa sawit di ladang.

Tidak cukup dengan itu, En. Calun membina pula sebuah pusat riadah mini berhampiran kolam ikannya.

Pusat riadah mini itu dilengkapi kemudahan penginapan (chalet), kemudahan rekreasi, aktiviti memancing dan memanggang tangkapan ikan. Sekilogram ikan yang dipancing pelanggannya akan dikenakan harga RM8.

Di situ pengunjung juga berpeluang melihat nurseri biji benih tanam-tanaman yang diusahakan seperti cili dan limau.

Idea itu timbul setelah dia sering mendengar galakan kerajaan supaya aktiviti ‘homestay’ dikembangkan ke kawasan luar bandar.

Sungguhpun usahanya itu telah melayakkannya bergelar usahawan tani, baginya usaha itu masih belum mencukupi dan tidak akan memberikan kepuasan.
Nikmat kepuasan baginya kini ialah untuk melihat lebih ramai golongan muda kampung seperti dirinya yang kurang berpelajaran mampu berjaya meningkatkan taraf hidup setanding dengan mereka yang berpelajaran tinggi dengan hanya berbakti kepada tanah.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article