Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), YBhg Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner (tengah) mempengerusikan sidang media berkenaan Karnival Youngpreneurs Go! 2017 di pejabat SSM di Kuching pada 27 Mac yang turut dihadiri Pengarah SSM Sarawak, Encik Adzman bin Ahmad (kiri) dan Ketua Komunikasi Korporat SSM, Encik Mohamad Shahren Mohamad Yusri (kanan).
Karnival Youngpreneurs Go! 2017 akan diadakan pada 22 hingga 23 April bermula dari pukul 10 pagi hingga 9 malam bertempat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Menurut YBhg Dato’ Zahrah, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan oleh SSM kepada penuntut universiti tempatan di bawah geran 1Perniagaan 1Pelajar.
Karnival Youngpreneurs Go! 2017 akan membuka peluang kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Sarawak untuk mempelajari ilmu-ilmu tentang perniagaan.
Selain itu, mereka juga akan didedahkan dengan maklumat-maklumat mengenai peraturan dalam dunia perniagaan, peluang perniagaan dan manfaat geran yang diberikan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.
Sempena karnival tersebut, SSM turut menganjurkan taklimat kerjaya dan keusahawanan dengan menjemput selebriti dan penuntut universiti yang telah berjaya dalam perniagaan untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.
Pelbagai aktiviti menarik seperti sukan BMX, futsal, bola jaring, taklimat, kuiz, pertandingan pidato serta jualan dan pameran akan diadakan untuk menarik kehadiran dan penglibatan lebih ramai pelajar universiti.