Artikel sumbangan Jeffrey Jalong, RANDO Bintulu
Pada 8 dan 9 April 2006 lalu, seramai 20 orang ahli kelab RANDO Bintulu telah mengadakan kunjungan kemasyarakatan dan muhibah ke Daerah Dalat/Mukah. Selain daripada untuk mengeratkan kerjasama serta jalinan silaturahim di antara R&DO Dalat dengan R&DO Bintulu, lawatan muhibah ini juga adalah bertujuan untuk melihat rancangan dan program-program pembangunan yang berlaku di Daerah Dalat.
Kenangan menghirup udara segar, tenang dan dingin di Daerah Dalat agak sukar untuk dilupakan. Tambah-tambah lagi rata-rata ahli rombongan yang menyertai lawatan ini menyatakan bahawa ini adalah pengalaman pertama masing-masing menjejakkan kaki di Dalat.
Pastinya, Daerah Dalat mempunyai sejarah dan tarikan yang unik dan tersendiri. Antaranya ialah kampung seberang yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai “Kampung Brunei”.
Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis ialah, tiang “Jerunai” atau “Liding” dalam bahasa Melanau Dalat.
Menurut sumber dari Pejabat Daerah Dalat, Jerunai yang didirikan di hadapan Pejabat Daerah Dalat adalah antara yang tertua dan yang terakhir disimpan dan dijaga oleh Penduduk Dalat.
Asalnya, lokasi Jerunai ini terletak di Kampung Seberang Tengah, namun ia telah dipindahkan beberapa kali sehinggalah kali yang terakhir iaitu di hadapan Pejabat Daerah Dalat.
Menurut sumber berkenaan lagi, pada masa hadapan besar kemungkinan Jerunai tersebut akan dipindahkan ke kawasan Taman Bulatan Dalat yang kini sedang dalam rancangan pembangunan.
Berdasarkan sumber sejarah, Jerunai adalah tempat persemadian yang terakhir bagi si mati dari keluarga tertentu.
Kebetulan, semasa tarikh kunjungan dibuat, ahli rombongan kelab RANDO Bintulu juga berkesempatan merasai kemeriahan Pesta Kaul Oya, Dalat. Pelbagai aktiviti menarik telah dilangsungkan semasa pesta tersebut dan menurut salah seorang kakitangan di Pejabat Daerah Dalat, pesta ini merupakan pesta tahunan yang dianjurkan di Oya yang bertujuan untuk menghidupkan dan memelihara budaya tradisional Melanau khususnya di kawasan Oya.
Selain itu, pesta ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung dari luar dan dalam negeri untuk menyaksikan acara tradisional yang unik ini.
Untuk mengeratkan lagi kerjasama dan silaturrahim di antara kakitangan R&DO Dalat dan R&DO Bintulu, pada sebelah petang 8 April 2006, satu perlawanan Futsal telah dianjurkan oleh Pejabat Daerah Dalat di Stadium Perpaduan Dalat.
Bagi memeriahkan lagi kunjungan kelab RANDO dari Bintulu, pihak tuan rumah RANDO Dalat juga telah mengatur satu program khas “Malam Mesra RANDO” sempena kunjungan tersebut.
Tempoh masa semalam dua hari di Daerah Dalat merupakan saat dan kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Kenangan berehat di Rumah Rehat Dalat, bermain Futsal di Stadium Perpaduan Dalat, berjalan-jalan di sekitar Pekan Dalat dan kampung-kampung berhampiran dan seterusnya beramah mesra di Malam Mesra RANDO semuanya akan menjadi kenangan manis buat ahli-ahli kelab RANDO Bintulu yang berkesempatan berkunjung ke Dalat pada 8 & 9 April 2006 lalu.
Pastinya, Daerah Dalat sedang membangunkan pelbagai produk pelancongan di daerah ini. Kepelbagaian produk dari hasil-hasil sagu, keindahan dan ketenangan kampung-kampungnya, peninggalan warisan seni dan budaya artifak yang tidak ternilai, kehalusan hasil-hasil kraftangan Melanau Dalat, sejarah dan keunikan Kampung Brunei, keseronokan membeli-belah di Pasar Minggu Dalat, semuanya akan meninggalkan kenangan manis buat pengunjung yang berkunjung ke daerah ini.