- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek Tanaman Berkelompok

Must read

Hj. Abdul Rahman bin Alim menunjukkan buah limau susu yang ditanamnya

Projek tanaman berkelompok yang diperkenal dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) telah terbukti dapat memudahkan tugas Jabatan Pertanian serta memberi manfaat besar kepada para petani.

Begitu juga yang diluahkan oleh tiga daripada peserta projek tanaman limau berkelompok di Jalan Ulu Segan, Sg. Tabau Bintulu.

Mereka mempunyai tanah seluas dua hektar seorang yang mula dibangunkan pada tahun 2000 dengan tanaman limau jenis madu dan susu.

Kawasan pertanian berkelompok seperti itu nyata telah memudahkan tugas kakitangan Jabatan Pertanian untuk membantu para peserta dari segi pengurusan tanaman dan tanah.

Ia termasuk cara penggunaan baja dan racun di samping memudahkan pemantauan diadakan setiap bulan untuk melihat perkembangan di ladang limau para peserta.

Salah seorang daripadanya, Hj. Abdul Rahman bin Alim, 64 tahun, merupakan pesara guru.

Dia telah memilih untuk bersara awal iaitu ketika berumur 50 tahun kerana beliau telah dapat melihat potensi yang mampu diraih dari aktiviti pembangunan tanah melalui tanaman limau. Ketika masih mengajar lagi, dia telah mula berjinak dengan tanaman limau di samping beberapa jenis tanaman lain.

Menurutnya, sebuah program yang disertainya dan dikenali sebagai ‘Human Resource Extension Programme’ iaitu untuk melihat kejayaan program di tempat lain telah banyak membuka mata dan hatinya untuk berkecimpung dengan kegiatan pertanian seterusnya turut serta dalam kegiatan pertanian berkelompok.

Antara ladang limau yang pernah dilawatinya ialah di Sibu, Sarikei dan Kuching.

Pada permulaannya, dia hanya menanam 190 batang pokok limau. Hari ini dia mempunyai hampir 400 batang pokok.

Pokok limau yang ditanam kumpulannya mengambil masa kira-kira dua setengah tahun untuk membuahkan hasil.

Tempoh penghasilan bunga sehingga buah limau itu dapat dituai pula mengambil masa kira-kira enam bulan. Sepanjang enam bulan yang berikutnya pula merupakan masa untuk mengutip hasilnya.

Mereka menjual buah limau melalui pemborong. Selain itu, ada juga tempahan yang diperoleh secara terus daripada kenalan dan orang persendirian.

Menurutnya, limau bagi gred 1 dijual kepada pemborong dengan harga RM1.50 sekilogram (kg). Gred 2, 3 dan 4 masing-masingnya dijual dengan harga RM1.30, RM1.00 dan RM0.50.

En. Hashim Atong, 64 tahun pula mempunyai kira-kira 700 pokok limau. Baginya projek tanaman berkelompok memudahkan mereka untuk berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan yang lain.

Di samping itu, pihak Jabatan Pertanian juga mudah menyalurkan maklumat pada satu-satu masa kepada semua peserta dalam kumpulan mereka. Antaranya demonstrasi kawalan serangga perosak terutama lalat buah kepada para peserta di kawasan ladang mereka.

Begitu juga dengan En. Hassan Uong, 59 tahun, yang ketika ini memiliki 600 pokok limau.

Seperti rakan-rakannya, dia juga bergantung hidup dengan hasil tanah untuk meneruskan kehidupannya.

Namun baginya, hasil daripada berbakti kepada tanah sudah memadai untuknya menyara kehidupan keluarga. Sehubungan itu, dia bercadang akan meneruskan usahanya dengan tanaman limau, selain daripada menanam sayur-sayuran dan pokok buah-buahan lain di sekitar tanah kebunnya.

Sementara itu, menurut En. Johnny Han, Pembantu Pertanian di Jabatan Pertanian Bintulu, projek pertanian berkelompok akan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di Bahagian Bintulu.

Dalam pertanian berkelompok, penggunaan ukuran ‘unit’ telah digantikan dengan ukuran ‘hektar’. Satu unit ditanam dengan kira-kira 95 pokok limau sementara satu hektar pula mampu memuatkan kira-kira 300 pokok limau.

Katanya, sebatang pokok limau yang telah matang mampu menghasilkan dalam 20 hingga 30 kg buah limau dalam satu musim.

Dua hektar tanaman limau mampu menghasilkan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 nilai jualan dalam masa satu musim kepada pengusahanya.

Pokok limau yang sihat mempunyai jangka hayat ekonomi di antara 15 hingga 20 tahun.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article