Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan setelah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan (PSDT) Bil 1/2017 di Wisma Bapa pada 25 April.
Beliau kini menerajui jawatankuasa ini (PSDT) yang dahulunya di bawah Ketua Menteri, YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dengan memberikan fokus kepada lima bidang utama iaitu Penyampaian Perkhidmatan, Strategi Perhubungan Awam Negeri, Kualiti Pendidikan dan Modal Insan, Kesejahteraan Masyarakat dan Sarawak sebagai Kuasa Sukan.
Secara keseluruhan, beliau menyifatkan 5 bidang utama tersebut kini berjalan lancar dan mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kabinet, ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan Ketua Kumpulan di atas sumbangan dan komitmen masing-masing.
Beliau turut memaklumkan antara lain perkembangan bidang di bawah Penyampaian Perkhidmatan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek perintis yang dikenal sebagai “Skuad 24/7” melibatkan enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah dikenalpasti akan bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan di luar waktu pejabat kepada masyarakat dalam kawasan pentadbiran masing-masing.
Skuad tersebut akan melibatkan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Samarahan (MPKS), Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Bandaraya Miri (MBM), dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)
Manakala di bawah bidang Strategi Perhubungan Awam Negeri, pihaknya komited untuk meningkatkan hubungan komunikasi 2 hala di antara penjawat awam dengan rakyat dan sebaliknya. Sebagai contoh aplikasi SarawakGov, adalah salah satu inisiatif yang boleh mendekatkan rakyat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Kerajaan juga akan memberikan latihan spesifik bagi meningkatkan kemahiran guru disamping meningkatkan kualiti kepimpinan guru besar dan pengetua, antara fokus di bawah bidang Kualiti Pendidikan dan Modal Insan.
Bagi bidang utama Kesejahteraan Masyarakat, 3 inisiatif akan dilaksanakan iaitu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keamanan (bebas jenayah), mengalakkan perpaduan dan meningkatkan sikap berdikari penerima bantuan kebajikan.
Bidang ke 5, Menjadikan Sarawak sebagai Kuasa Sukan, kerajaan negeri akan mencungkil bakat-bakat baharu, meningkatkan keberkesanan dalam mengurus kemudahan sukan serta melaksanakan persediaan untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.
Turut hadir Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti YB Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Kerajaan Tempatan YB Datu Dr Penguang Manggil, Menteri Muda Solidariti YB Puan Rosey Haji Yunus dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri YBhg. Datu Dr Sabariah Putit.