Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah melancarkan DBKU Metropolitan Free WiFi, iaitu ‘Free WiFi for Rakyat’ sempena majlis perasmian Hari Bandar Raya Ke-29.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching pada 1 Ogos 2017.
Menurut Datuk Bandar Kuching Utara YBhg Datuk Haji Abang Abdul Wahap Haji Abang Julai, selain memberi manfaat kepada penduduk, projek tersebut dilaksanakan sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri ke arah ekonomi digital dan mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Sebagai permulaan, fasa pertama projek WiFi percuma akan meliputi kawasan di Padang Merdeka dan Tebingan Kuching sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Selain itu, DBKU juga telah melaksanakan aplikasi WhatsApp DBKU (0168864466) untuk memberi ruang kepada warga kota menyalurkan maklumat, aduan atau cadangan kepada pihak DBKU dengan lebih efektif.
Majlis turut menyaksikan penyerahan surat pelantikan Kejiranan Mesra (KJM) oleh Ketua Menteri kepada tujuh buah kampung (Kampung Santubong, Kampung Semariang Batu, Kampung Temedak, Jalan Patingan, Kampung Taman Intan, Bandar Baru Samariang, Kuching Family Park, Kampung Sungai Midin dan Kampung Semariang Pinggir) menjadikan jumlah keseluruhan KJM sebanyak 29 buah kampung.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan YBhg Dato James Chan Khay Syn yang turut hadir memberi jaminan bahawa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan terus memastikan Kuching sebagai bandar raya hijau, lestari, sihat, selamat didiami serta dinamik dari segi ekonomi.
Tambah beliau, MBKS juga mendukung aspirasi Ketua Menteri untuk mentransformasi Sarawak ke arah ekonomi digital dan mewujudkan kemudahan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pada masa hadapan.
Hari Bandara Raya disambut setiap tahun pada 1 Ogos sejak 1988 bagi meraikan Kuching setelah dinaik taraf sebagai bandar raya.