Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri 2017 telah membuka tirai dengan program kesihatan, iaitu Sarawak Inno Run / Ride pada 15 Oktober.
Program dimulakan dengan pelepasan peserta berbasikal Hari Sukan Negara (HSN) Fun Ride 30 kilometer dan larian kesihatan sejauh 5 kilometer sempena Hari Sukan Negara oleh Menteri Muda Belia dan Sukan YB Datuk Snowdan Lawan.
Program turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Dato’ Haji Mansor Man dan Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Bersama Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri 2017 Dr. Anthony Valentine Laiseh.
Sambutan Minggu Inovasi kali ini akan diadakan di Kuching, Kota Samarahan, Sarikei dan Miri.
Dianjurkan bersama oleh Unit Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan UPPN, pelbagai program akan diadakan sepanjang sambutan yang bermula dari 15 hingga 20 Oktober.
Seperti tahun lepas, program-program yang dianjurkan terbuka kepada penjawat-penjawat awam, pekerja-pekerja sektor swasta, golongan usahawan dan orang awam.
Penganjuran program dibahagikan kepada lima slot utama, iaitu slot kesihatan, ekonomi, alam sekitar, sosial dan konvensyen inovasi.
Hari kedua sambutan diteruskan dengan Forum Perdana Inovasi anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani pada 16 Oktober di Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya, Kuching.
Program-program yang mengisi slot alam sekitar adalah Inno Waste yang akan diadakan di Sarikei dari 16 hingga 17 Oktober dan Kembara Inno Youth di Kampus Institut Tadbiran Negara (INTAN) Wilayah Sarawak, Kota Samarahan pada 17 Oktober.
Manakala Bahagian Miri pula bakal menjadi hos Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang bermula dari 17 hingga 19 Oktober.
Majlis Penyampaian Anugerah KIK akan berlangsung serentak sempena Penutupan Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri 2017 pada malam 20 Oktober.