Jambatan Gantung Satok yang runtuh pada 2004 akan dibina semula dengan kos berjumlah RM8.05 juta.
Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membina semula jambatan berkenaan dengan mengambil kira nilai sejarah dari sudut kejuruteraan dan sebagai tarikan pelancong.
Jambatan Gantung Satok yang dibina semasa era pemerintahan Brooke dalam tahun 1926 merupakan laluan untuk pejalan kaki dan kenderaan ringan seperti basikal, beca dan motosikal serta menjadi saluran paip bekalan air yang dibekalkan dari kawasan Matang ke pusat bandar.
Jambatan tersebut ditutup pada 1992 kerana begitu uzur dan tidak selamat digunakan lagi sebelum runtuh 12 tahun kemudian.
Selain memberi kemudahan, Ketua Menteri menyifatkan jambatan bersejarah berkenaan adalah lambang perpaduan masyarakat Kuching kerana telah menyatukan penduduk dari kedua-dua seberang sungai.
Tambah beliau, jambatan gantung yang baharu kelak akan menjadi tarikan pelancong luar dan domestik serta menjadi penghubung kemesraan di antara masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri YB Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan memaklumkan bahawa projek pembinaan semula jambatan berkenaan telah dimulakan pada 19 September 2017 dan dijangka siap pada 2019, iaitu dua tahun dari sekarang.
Projek yang diambil alih Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan diseliakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Jelas beliau, jambatan gantung baharu dibina sepanjang 213meter dengan lebar tiga meter serta mengikut piawaian British Standard (BS) termasuk Menara dan blok utama yang menyokong kabel penggantungan.
Turu hadir pada majlis pecah tanah tersebut ialah Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan YB Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.