- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Taman Negara Kubah dan Pusat Hidupan Liar Matang Dicadang untuk Disenaraikan dalam Heart of Borneo

Must read

Taman Negara Kubah dan Pusat Hidupan Liar Matang adalah antara dua tempat yang dicadangkan untuk disenaraikan dalam kawasan Heart of Borneo (HoB).

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar YB Datu Haji Len Talif Salleh ketika beliau merasmikan Majlis Penutupan Karnival Non-Timber Forest Product (NTFP) Heart of Borneo 2017 di Tebingan Kuching pada 30 Oktober.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat bagi mengekalkan keindahan semula jadi kedua-dua tempat berkenaan agar turut mendapat manfaat daripada pengurusan dan pemeliharaan ekosistem di bawah inisiatif HoB.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pengumuman Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg untuk meluaskan kawasan HoB daripada 2.1 juta hektar kepada 2.5 juta hektar.

YB Datu Haji Len Talif juga menyeru dan menggalakkan masyarakat tempatan supaya meningkatkan penanaman pokok serta melibatkan diri dalam aktiviti penanaman pokok melalui bimbingan dan bantuan daripada agensi-agensi berkaitan.

Jelas beliau, penanaman pokok perlu digiatkan sebagai inisiatif untuk menghijaukan kawasan dan menjamin bekalan bahan mentah yang mencukupi untuk menampung keperluan industri perkayuan negeri pada masa akan datang.

Selain itu, beliau menasihatkan supaya masyarakat tidak mengambil atau menuai sumber semula jadi seperti hasil hutan secara berlebihan sehingga menjejaskan alam semula jadi.

Menyentuh mengenai karnival NTFP yang dianjurkan oleh Jabatan Hutan Sarawak, beliau mencadangkan supaya karnival berkenaan dijadikan sebagai acara tahunan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung-pengunjung tempatan dan luar negara.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Hashtag Instagram NTFP dan pemenang-pemenang cabutan bertuah.

Turut hadir pada majlis penutupan Karnival NTFP Heart of Borneo 2017 ialah Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Haji Sapuan Ahmad.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article