Dalam perubahan pantas dunia digital serta ledakan pembangunan gadget, bidang psikologi dan kaunseling dalam pengurusan sumber manusia tidak harus bersifat pegun.
Oleh yang demikian, golongan pakar dan pengamal dalam bidang psikologi dan kaunseling perlu bergerak seiring dengan perubahan dan tuntutan zaman.
Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani menekankan perkara berkenaan melalui teks ucapan beliau yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) YBhg Datu Dr. Sabariah Putit pada Majlis Penutupan Hari Psikologi dan Kaunseling Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2017 di Kuching pada 1 November.
Hadir sama ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Abdul Rahman Sebli Senusi dan Pengarah Unit Sumber Manusia Negeri (SHRU), Jabatan Ketua Menteri YBhg Datu William Patrick Nyigor.
YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi mengambil contoh, evolusi dalam ujian atau penilaian psikologi telah banyak menggunakan kemudahan teknologi IT terkini serta kaedah digital seperti Q-Interactive.
Menurut beliau, peningkatan penggunaan alat ujian psikologi dalam sumber manusia pada ketika ini merupakan sinergi yang penting di antara kedua-duanya.
Amalan kaunseling jarak jauh atau secara atas talian juga semakin meningkat, walaupun telah diguna pakai sejak tahun 90an di Amerika Syarikat.
Konsep tele psikologi termasuk intervensi secara atas talian seperti telefon, emel, chat dan video conferencing.
Tambah beliau, kajian mengenai terapi pengurusan kemarahan mendapati pendekatan kaunseling secara tradisional dan digital masing-masing memberikan kesan yang positif.
Walaupun perkhidmatan awam negeri belum mengguna pakai pendekatan berkenaan, namun SHRU telah memperkenalkan SCS-CoP System sebagai salah satu inisiatif dalam pengurusan psikologi dan kaunseling.
Pada majlis itu, YBhg Datu Dr. Sabariah telah melancarkan Modul Sarawak Civil Service Employee Excellence Program (SCS-EEP) yang dihasilkan oleh Bahagian Sokongan Pekerja SHRU dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik Kuching, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak.
Modul tersebut dibangunkan dengan pendekatan psikologi dan kaunseling dalam membangunkan penjawat awam dengan fokus kepada peningkatan prestasi di tempat kerja.