- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Sarawak bersiap sedia anjur Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF 2017)

Must read

Sarawak bersiap sedia menganjurkan Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF 2017) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 21 hingga 23 November ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, segala persiapan seperti logistik, keselamatan dan yang berkaitan bagi menganjurkan forum bertaraf dunia itu telah diatur oleh Kerajaan Negeri.

Beliau memaklumkan, selain Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Abdul Razak yang akan menyampaikan ucaptama pada forum tersebut, ramai pemimpin dunia serta tokoh korporat antarabangsa telah mengesahkan kehadiran mereka ke forum ekonomi itu yang buat julung kalinya diadakan di Sarawak.

Antara yang hadir ialah Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov.

Salah seorang pengasas bersama Apple Incorporated, Steve Wozniak juga bakal membentangkan kertas kerja berkaitan kelebihan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam memperkukuhkan rangkaian perdagangan antarabangsa.

YB Datuk Amar Haji Awang Tengah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur WIEF 2017 berkata, Sarawak berbangga apabila dipilih menjadi tuan rumah forum berkenaan yang berpotensi sebagai platform bai mewujudkan jaringan perniagaan dan perdagangan lebih kukuh di peringkat global, khususnya dalam dunia Islam.

Tambah beliau, penganjuran WIEF 2017 juga selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam membangunkan ekonomi digital seiring perkembangan semasa, terutama kemajuan ICT yang mewujudkan konsep ‘dunia tanpa sempadan’.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan pada sidang media penganjuran WIEF 2017 di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching pada 7 November.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Yayasan WIEF YBhg Tun Musa Hitam dan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Forum berkenaan yang memfokus kepada usaha pengembangan industri halal di peringkat global bakal menarik kehadiran 2,200 peserta dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada komuniti perniagaan.

Jelas beliau lagi, industri halal mempunyai pasaran amat meluas di peringkat global, merangkumi pelbagai produk dan tidak hanya bertumpu kepada umat Islam, malah masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, YBhg Tun Musa Hitam berkata beliau mengagumi kepemimpinan negeri ini yang begitu komited dalam usaha pembangunan ekonomi digital yang secara langsung membolehkan lebih banyak pasaran baharu produk dan perkhidmatan untuk diteroka.

Sidang media pada hari tersebut turut menyaksikan penyampaian cek tajaan penganjuran WIEF 2017 daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) berjumlah RM100,000.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article