- Advertisement -spot_img
4,843
published news
and counting

Sempadan Tebedu-Entikong akan Dibuka Semula

Must read

Malaysia dan Indonesia mencapai persekapatan untuk membuka semula sempadan Tebedu (Sarawak, Malaysia) dan Entikong (Kalimantan Barat, Indonesia) apabila Perjanjian Rentas Sempadan (BCA) dan Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) diperbaharui dan dimeterai semula oleh kedua-dua negara tidak lama lagi.

Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Abdul Razak memaklumkan perkara tersebut dalam kenyataan media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi Islam di antara kedua-dua pihak sempena Rundingan Tahunan Ke-12 Malaysia dan Indonesia di Kuching pada 22 November.

Menurut Perdana Menteri, beliau dan Presiden Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi telah bersetuju supaya sempadan Tebedu-Entikong dibuka semula dan dipercepatkan proses pembukaan semula memandangkan banyak manfaat yang dapat diperolehi oleh rakyat di kedua-dua buah negara terutama komuniti yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan daripada aktiviti perdagangan rentas sempadan.

Selain itu, Malaysia dan Indonesia juga bersetuju supaya kajian bersama mengenai potensi kawasan persempadanan dijalankan.

Jelas YAB Datuk Patinggi Mohd Najib, kajian bersama tersebut bertujuan untuk membangunkan kawasan sempadan secara bersepadu bagi memberi manfaat kepada penduduk terutama dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sebagainya.

Tambah beliau, persetujuan untuk membuka semula sempadan Tebedu-Entikong yang turut membabitkan pembukaan pos sempadan baharu di Sabah adalah selari dengan potensi besar kepulauan Borneo untuk berkembang sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi baharu dan terpenting di rantau ini.

Sementara itu, MoU Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi Islam telah ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia YB Dato’ Seri Idris Jusoh dan Menteri Luar Negeri Republik Indonesia Retno L.P. Marsudi.

Mou berkenaan ditandatangani bagi mengukuh dan membangunkan hubungan mesra antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan tinggi Islam dan bagi menghargai kepentingan pendidikan Islam sebagai faktor pembangunan sosial, budaya dan ekonomi serta cara untuk memupuk hubungan antara kedua-dua negara.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Menteri Pertahanan Malaysia YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein serta beberapa orang Menteri Persekutuan dan delegasi Republik Indonesia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article