Seramai 1,189 graduan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) menerima skrol atau sijil tamat pengajian yang telah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani pada Majlis Konvokesyen Ketiga CENTEXS pada 5 Disember 2017.
Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Penview Kuching (PCCK) turut dihadiri Ahli Lembaga CENTEXS YBhg Datu Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Yayasan Sarawak YBhg Haji Azmi bin Haji Bujang.
Graduan-graduan yang menerima sijil terdiri daripada lulusan pelbagai bidang kemahiran seperti minyak dan gas, pelabuhan dan elektrikal, pembinaan, tekstil, hospitaliti dan teknologi maklumat.
Majlis konvokesyen pada kali ini turut menyaksikan seramai 12 graduan menerima anugerah pelajar terbaik dan dianugerahkan sijil kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Bidang-bidang tersebut adalah Teknologi Kimpalan, Pemeriksa Kimpalan 3.0, Kru Pembinaan Minyak dan Gas, Rigging dan Slinging, Jurulektrik Plus, Mechatronik (peralatan pelabuhan), Perancah, Bekerja di Ketinggian, Teknologi Fesyen, Operasi Pelayan Jamuan, Diploma Profesional dalam Reka Bentuk Rambut dan Solekan dan Keusahawanan Tekno.
Dalam perkembangan berkaitan, CENTEXS juga telah menandatangani dokumen kerjasama bersama Huawei Malaysia untuk membangunkan latihan digital dan makmal digital bagi memperlengkap belia Sarawak kepada dunia digital.
Program kerjasama latihan berkenaan dijangka akan dapat membantu pelaksanaan Pembangunan Kabel Dasar Laut dan Optik Fiber, “Rumah Digital” atau “Bandar Digital”, e-Perdagangan, Keselamatan Siber dan Analitik Big Data di Sarawak.