Sarawak sedang menghampiri garisan hadapan dalam era digital dengan industri tenaga sebagai peneraju masa depan negeri bersama dengan kemajuan teknologi terkini.
Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menyatakan keyakinan beliau mengenai perkara tersebut ketika merasmikan Persidangan dan Pameran sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Ke-4 (IEW 2018) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 23 Januari.
Beliau menjelaskan, selaras dengan hasrat untuk menjadi sebahagian daripada transformasi digital yang dilihat dapat mempercepat pertumbuhan ke arah ekonomi maju, Sarawak akan meningkatkan sistem pendidikan dalam membangunkan bakat-bakat muda berasaskan teknologi.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan galakan dalam penggunaan teknologi dan perkhidmatan ICT terkini termasuk Kecerdasan Buatan (Artificial Inteligence) dan Fintech.
Ketua Menteri percaya bahawa usaha-usaha demikian akan mewujudkan potensi besar yang akan menjana perniagaan dan perkhidmatan baharu yang seterusnya menyediakan peluang pekerjaan lumayan kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan membuat lebih penekanan terhadap industri hiliran yang akan mendatangkan nilai tambah yang lebih tinggi dalam aktiviti ekonomi negeri berdasarkan kepada pelaburan di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang mencecah RM33.64 bilion dan dijangka menawarkan 17,093 peluang pekerjaan.
Usaha tersebut perlu dilaksanakan memandangkan Sarawak mempunyai populasi yang kecil, iaitu seramai 2.7 juta orang dan tidak mampu menawarkan tenaga buruh yang murah.
Sebaliknya, Sarawak meletakkan penekanan terhadap kemahiran yang mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk memenuhi keperluan industri berintensifkan modal.
Menyentuh mengenai IEW, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk terus memberi sokongan melalui penganjuran persidangan tersebut yang menyediakan platform untuk industri tenaga dan infrastruktur untuk bersama-sama mengkaji dan menangani cabaran di samping meneroka banyak peluang perniagaan baharu ketika dunia sedang bergerak ke era digital.
Persidangan yang bermula dari 23 hingga 25 Januari dihadiri seramai lebih 5,000 delegasi dan menarik peserta pameran yang melibatkan 15 buah negara termasuk Malaysia, India, Jerman, Itali, Singapura dan Amerika Syarikat.
Yang turut hadir pada majlis perasmian IEW 2018 ialah dua orang Timbalan Ketua Menteri, iaitu YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan YB Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Utiiti YB Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan YB Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.