Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak perlu bersedia secara profesional dan bersedia dari segi mental dalam melaksanakan inisiatif ekonomi digital dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menekankan perkara berkenaan ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan anjuran Leadership Institute of Sarawak Civil Service di Kuching pada 12 Mac 2018.
Dalam ucapan tersebut, beliau menyambut baik usaha Leadership Institute untuk membangunkan kepakaran dalam perkhidmatan awam negeri bagi melaksanakan pelbagai inisiatif transformasi ekonomi digital.
Sambil menyatakan rasa sukacita beliau terhadap program transformasi perkhidmatan awam negeri di bawah Pelan Tindakan SCS 10-20 yang menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai komponen penting, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa usaha sedemikian telah pun berkembang dalam Revolusi Industri 2.0.
Jelas beliau, dalam perkembangan teknologi digital yang sedang berlaku sekarang, Sarawak melangkau Revolusi Industri 3.0 dan melompat ke Revolusi Industri 4.0.
Menurut Ketua Menteri, untuk melangkaui revolusi tersebut, Sarawak telah belajar daripada pengalaman, kepakaran serta mengadaptasi model pembangunan digital daripada negara-negara yang maju dalam teknologi digital untuk disesuaikan dengan situasi di negeri ini.
Beliau juga percaya bahawa perkhidmatan awam negeri memiliki ramai bakat-bakat yang boleh dibangunkan melalui pendedahan dan latihan bagi mendukung inisiatif digital.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) merangkap Pengarah Eksekutif Leadership Institute YBhg Datu Dr. Sabariah Putit memaklumkan Pelan Tindakan SCS 10-20 merupakan pelan strategi yang mendukung peranan ICT dalam mempercepatkan proses transformasi perkhidmatan awam negeri yang juga berperanan sebagai peneraju pelaksanaan ekonomi digital negeri pada masa sekarang.
Dalam hal ini, beliau memaklumkan bahawa Leadership Institute bersedia untuk memberi sokongan bagi membolehkan perkhidmatan awam bersiap sedia secara digital serta membina kapasiti untuk menyokong pelan ekonomi digital.
Menyentuh mengenai usaha pencarian bakat dalam perkhidmatan awam, beliau memaklumkan Leadership Institute yang dahulu dikenali sebagai Centre for Modern Management (CMM) telah bekerjasama dengan beberapa institusi luar terkemuka di Singapura, United Kingdom dan Australia sejak 2011.
Selain itu, institusi berkenaan juga telah membangunkan perkongsian strategik dengan institusi tempatan dan antarabangsa antaranya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Curtin Sarawak, Swinburne Sarawak, Universiti Malaya, Razak School of Government (RSOG), Shell Malaysia dan Pusat Latihan Polis.
Majlis makan malam tersebut telah menyaksikan YBhg Datu Dr. Sabariah mewakili Leadership Institute pada dua upacara perjanjian persefahaman (MoU) dengan Leaderonomics dan British Council bagi mengadakan kolaborasi dalam menyampaikan program latihan yang relevan dan berkesan.
Ketua Menteri turut melancarkan ‘Leader’s Digest’, sebuah penerbitan dua minggu sekali oleh kakitangan Leadership Institute yang memaparkan koleksi artikel mengenai kepimpinan dan pembangunan profesional.
Beliau kemudiannya menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Setia kepada 26 kakitangan dan Anugerah Prestasi Terbaik 2017 kepada 12 orang penerima.
Antara tetamu-tetamu kehormat yang hadir ialah isteri Ketua Menteri YABhg Datin Patinggi Dato Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio-Ekonomi) YBhg Datu Haji Abu Bakar Marzuki, Ketua Pegawai Operasi Leadership Institute Encik Segaren Arumugam dan ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.