Kerajaan Negeri terus beriltizam untuk merealisasikan agenda tenaga boleh diperbaharui di Sarawak dengan memanfaatkan teknologi-teknologi yang terkini.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (ISES) 2018 di Kuching pada 10 April 2018.
Sidang kemuncak kali keempat itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui (SEDA) Malaysia bersama Kementerian Utiliti Sarawak dan dihoskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Kerajaan Negeri Sarawak.
Menjelaskan kenyataan itu beliau memberitahu, usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri termasuklah ujian terhadap penggunaan aplikasi sel bahan bakar hidrogen dalam sektor pengangkutan dan pendigitalan tenaga elektrik.
Menurut beliau, dalam tempoh tiga tahun akan datang, landskap pengangkutan awam di Sarawak akan mengalami transformasi ke arah lebih baik melalui penggunaan bas yang menggunakan kuasa elektrik.
Sarawak turut mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dalam aspek peralihan tenaga kerana mempunyai 75 peratus sumber boleh diperbaharui dalam tiga campuran kuasa elektrik, 72 peratus pengurangan pelepasan karbon daripada penjanaan kuasa dan mempunyai tariff tenaga elektrik terendah.
Dalam usaha membentuk masa depan digital bagi Sarawak, beliau berkata Kerajaan Negeri telah melaksanakan Transformasi Ekonomi Digital Sarawak melalui penggubalan Strategi Ekonomi Digital Sarawak bagi tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2022.
Kerajaan Negeri juga sedang bekerja keras untuk mewujudkan dasar bagi menyokong agenda ekonomi tenaga hijau dan satu daripadanya adalah untuk menyokong pelaksanaan Indeks Bangunan Hijau di bangunan baharu kerajaan dan bangunan swasta yang bukan untuk tujuan kediaman di bandar raya dan bandar utama Sarawak.
Pada majlis perasmian tersebut, Ketua Menteri telah menyaksikan tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai iaitu yang pertama diantara SEDA Malaysia bersama Pusat Latihan Proaktif (PLP) Sarawak.
MoU tersebut adalah menggariskan “Kerjasama Mengenai Pembangunan Modal Insan” bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama membangunkan modal insan seperti menyediakan program latihan bagi juruteknik dan jurutera dalam bidang teknologi Solar Photovoltaic (PV) di Sarawak.
Kedua ialah MoU diantara Petra Energy Berhad dan Pekat Teknologi Sdn Bhd berkenaan “Rakan Strategik Untuk Meneroka Industri Tenaga Diperbaharui” dan ketiga ialah MoU antara Cypark RE-store Sdn Bhd dan Tesvolt GmbH mengenai “Pembangunan Projek Penyimpanan Tenaga di Malaysia”.