Program TRACEMyCareer@MOHE 2018 akan dapat mengurangkan masalah asimetri maklumat dengan mempertemukan pencari-pencari kerja termasuk graduan universiti, politeknik, kolej komuniti dan lepasan sekolah menengah khasnya yang berada di Sarawak dalam satu platform penjodohan kerja (job matching platform).
Masalah asimetri maklumat yang membawa kepada ketidaktepatan maklumat (imperfect information) sering berlaku kerana majikan tidak tahu sama ada pekerja yang mereka ambil akan dapat memenuhi kehendak syarikat ataupun tidak terutama dari segi sikap dan kemahiran walaupun mereka telah dinilai berdasarkan resume.
Pada masa yang sama, pencari kerja pula tidak peka kepada kehendak dan tawaran yang diberikan oleh majikan kerana maklumat yang mungkin disalah tafsir ataupun maksud yang tidak sampai.
Namun demikian, melalui platform ini, pencari kerja dan majikan akan dapat bertukar maklumat melalui temuduga terbuka dan secara langsung dapat mewujudkan peluang yang lebih baik kepada kedua-dua pihak untuk mengisi jawatan-jawatan kosong yang disediakan.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar YB Datu Haji Len Talif Saleh yang mewakili Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan merasmikan Program TRACEMyCareer@MOHE 2018 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 25 April 2018.
Beliau difahamkan bahawa program yang berlangsung selama dua hari bermula dari 25 hingga 26 April ini juga akan memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar semasa dengan ekspektasi majikan dan industri melalui aktiviti ceramah dan kerjaya.
Menurut beliau, pasaran kerja di Malaysia khasnya di Sarawak sangat berdaya saing bukan sahaja daripada perspektif pekerja malah juga majikan kerana kedua-dua pihak sentiasa berusaha untuk mendapatkan calon-calon pekerja atau majikan yang memenuhi kehendak masing-masing.
Dalam hal ini, bukan saja pekerja yang berhati-hati memilih pekerjaan yang boleh menjamin kehidupan mereka malah majikan juga turut dipengaruhi oleh sentimen perniagaan dan prestasi ekonomi semasa yang sangat kompetitif.
Keadaan ini sangat mempengaruhi keputusan mereka untuk menambah bilangan pekerja mereka dan ini sudah tentunya menjejaskan peluang pekerja-pekerja baharu khasnya dalam kalangan belia dan siswazah.
Kerana itu beliau berkata, kita harus menyedari bahawa golongan pencari kerja baharu khasnya lepasan universiti dan institusi pendidikan lain yang begitu mudah terjejas dengan situasi pasaran kerja yang kompetitif dan sentiasa berubah.
Walau bagaimanapun, beliau berharap program penjodohan kerja dan ceramah kerjaya ini akan dapat mengurangkan kadar pengangguran belia di Malaysia khasnya dalam kalangan siswazah universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.