- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Merangka Strategi bagi Memberi Kefahaman mengenai Ekonomi Digital

Must read

Kerajaan Negeri akan merangka strategi terbaik untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai apa itu ekonomi digital dan menggunakan teknologi sebagai cara untuk meningkatkan ekonomi.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, usaha tersebut akan merangkumi semua peringkat masyarakat termasuk di luar bandar.

Strategi yang dirangka akan menumpukan kepada hubungan fizikal dan ekonomi bagi merapatkan jurang perbezaan di antara penduduk bandar dengan luar bandar.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan ketika merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2018 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 15 Mei.

Jelas beliau, penganjuran IDECS memberi pandangan jauh atau wawasan kepada masyarakat sejauh mana tahap pemahaman mereka mengenai ekonomi dgital sambil menegaskan banyak perkara perlu dilakukan, terutama dalam konteks ekonomi Sarawak kerana tahap pemahaman mereka mungkin berbeza di antara satu sama lain.

Tambah beliau, salah satu kelebihan IDECS adalah maklum balas yang diterima daripada penganjurannya.

Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap agar penduduk luar bandar turut serta atau menerima ekonomi digital dalam sektor pengeluaran makanan dan perniagaan.

Menyentuh mengenai masa depan ekonomi negeri, Ketua Menteri percaya bahawa Sarawak akan berada di kalangan negeri terbaik di Malaysia dari segi prestasi ekonomi menjelang 2030 berdasarkan tiga faktor utama, iaitu sumber yang banyak, demografi penduduk yang baik dan lokasi yang strategik.

“Sarawak memiliki sumber sinaran cahaya matahari yang mencukupi untuk tenaga solar dan sumber air yang baik bagi menghasilkan tenaga elektrik dan hidrogen.

“Sama pentingya adalah demografi penduduk kita yang mempunyai kira-kira 60 peratus daripada populasi dalam lingkungan bawah 50 tahun dan ke bawah.

“Kita perlu wujudkan pekerjaan kepada mereka dan mereka mestilah kreatif, bermakna kita boleh menggunakan bakat-bakat ini bagi memberi nilai tambah kepada sumber-sumber yang saya sebutkan,” jelas beliau.

Biarpun mempunyai populasi sekitar 2.7 juta, Sarawak berada dekat dengan gergasi ekonomi dalam ekonomi baharu hari ini seperti India, China dan negara-negara Asean yang kesemuanya merupakan pasaran yang berpotensi untuk negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya Sarawak berkongsi sumber-sumber dan ekonomi dengan negara-negara jiran tersebut di rantau ini.

Majlis penutupan IDECS 2018 turut menyaksikan pelancaran platform Sarawak Open Data oleh Ketua Menteri dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara pihak-pihak tempatan dan luar negara dalam bidang berkaitan latihan dan perniagaan.

Yang turut hadir ialah tiga Timbalan Ketua Menteri, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan YB Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing serta Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article