- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dipinda

Must read

Kerajaan Negeri mahu memastikan aspirasi rakyat direalisasikan dan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas di perairannya akan terus diperjuangkan.

Oleh sebab itu, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 atau OMO dipinda bagi mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih berkesan untuk sektor huluan dan hiliran minyak dan gas dengan penguatkuasaan Ordinan Pembahagian Gas 2016.

Menurut Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, pindaan terhadap OMO adalah manifestasi yang kuat daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk melindungi hak dan kepentingan negeri ke atas sumber minyak dan gas.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan menjelaskan perkara tersebut ketika membentangkan Rang Undang-undang Perlombongan Minyak (Pindaan) 2018 untuk bacaan kali kedua dan diikuti bacaan kali ketiga pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 10 Julai 2018.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk terlibat secara konstruktif dengan syarikat petroleum nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan bagi penerokaan, prospek dan perlombongan minyak dan gas di negeri ini.

Beliau memberi jaminan bahawa rangka kerja berkenaan tidak akan menjejaskan operasi dan pelaburan Petronas di Sarawak.

Walau bagaimanapun, Petronas mesti menunjukkan kesediaannya untuk menghormati dan mematuhi undang-undang negeri serta menunjukkan komitmen dalam memenuhi aspirasi Sarawak untuk mendapatkan bahagian yang lebih adil dan saksama dalam eksploitasi minyak dan gas.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mahukan penyertaan yang lebih ramai dan lebih aktif oleh syarikat tempatan dalam sektor huluan dan hiliran industri minyak dan gas di Sarawak.

Statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia dalam Buletin Statistik Bulanan, April 2018 menunjukkan Sarawak sebagai pengeluar utama cecair gas asli (LNG) dengan jumlah yang dieksport dari negeri ini sebanyak 27 juta tan metrik dan jumlah nilai kasar sebanyak RM41.1 bilion bagi tahun 2017.

Sementara jumlah petroleum mentah yang dieksport dalam tahun yang sama adalah sebanyak 5,353,000 tan metrik dengan nilai pasaran RM9.4 bilion.

Berdasarkan maklumat daripada Petronas pada Disember 2017, terdapat 41 blok Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang sebahagian besarnya terletak di perairan Miri dan Bintulu dengan jumlah pengeluaran minyak keseluruhan sebanyak 173,000 tong sehari bagi 2017.

Kesemua data tersebut menurut YB Datuk Amar Haji Awang Tengah jelas mengesahkan aktiviti huluan utama dalam penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas berlaku di Sarawak dan menyumbang kepada ekonomi negara dengan ketara.

Justeru, aktiviti huluan dalam industri minyak dan gas perlu dikawal selia dengan betul untuk kepentingan negeri dan nasional.

Dalam hal ini, berdasarkan OMO 1958 yang dikuatkuasakan sebelum pembentukan Malaysia, Sarawak mempunyai kuasa perundangan dan eksekutif terhadap eksplorasi, eksploitasi dan perlombongan petroleum di perairannya, maka pengurusan dan pengawalseliaan sektor huluan di Sarawak harus disokong oleh undang-undang negeri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article