- Advertisement -spot_img
4,827
published news
and counting

Program Transformasi Minda Untuk Golongan Miskin dan Miskin Tegar

Must read

Bagi meningkatkan kejayaan dalam usaha pembasmian kemiskinan, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak telah melaksanakan Program Transformasi Minda khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih.

Menurut Menterinya YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, program itu bertujuan untuk memberi kesedaran kebertanggungjawaban kepada mereka agar dapat mengubah sikap dan berdikari, selain untuk melahirkan usahawan-usahawan mikro.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan hari ke-6 Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18 pada 16 Julai 2018.

Jelas beliau, sejak dilancarkan pada awal tahun 2018, seramai 3,481 Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) telah menghadiri program tersebut.

Daripada jumlah tersebut 1,608 adalah mereka yang menerima bantuan AZAM pada tahun 2017 dan tahun sebelumnya, manakala sejumlah 1,873 adalah mereka yang belum pernah menerima apa-apa bantuan ekonomi.

Setakat 12 Julai 2018, seramai 767 peserta KIR/AIR daripada kumpulan mereka yang telah menerima bantuan ekonomi telah dipantau.

Daripada jumlah tersebut, 364 peserta menunjukkan peningkatan pendapatan untuk tiga (3) bulan pertama kepada RM497,667.76, iaitu pertambahan sebanyak RM46,323.43 (10.3%) daripada pendapatan sebelum ini iaitu sebanyak RM451,344.33.

Setakat Mei 2018, penerima bantuan kebajikan bulanan adalah seramai 56,510 orang dengan perbelanjaan sebanyak RM87.5 juta.

Ia merangkumi Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Orang Tua (BOT), Elaun Pekerja Cacat (EPC), Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Bantuan Anak Pelihara (BAP) dan Bantuan Belia-Beliawanis (BBB).

Daripada jumlah penerima tersebut, seramai 25,841 orang merupakan mereka yang masih produktif untuk menjana pendapatan dan perlu diperkasakan melalui program-program Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) dan Program Pembangunan Kemahiran dan Pemadanan Kerja (PKPK).

Manakala, sebanyak 30,669 adalah penerima yang tidak produktif dan mereka juga akan terus dibantu demi kelangsungan hidup dalam komuniti.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article