- Advertisement -spot_img
4,805
published news
and counting

Mengimbas Evolusi Dewan Undangan Negeri Sarawak

Must read

Evolusi Dewan Undangan Negeri Sarawak bermula dengan tertubuhnya Majlis Umum (General Council) apabila Raja Muda Charles (Johnson) Brooke, atas arahan Raja James Brooke, mengadakan mesyuarat pertamanya di Bintulu pada 8 September 1867.

Ahli-Ahlinya yang berjumlah 21 orang ketika itu, terdiri daripada kalangan ketua kaum tempatan yang difikir dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan Brooke yang hanya meliputi kawasan-kawasan pesisiran.

Selepas di Bintulu, mesyuarat-mesyuarat General Council berikutnya diadakan di Sibu pada 1868 dan di Astana, Kuching hingga Perang Dunia Kedua.

General Council telah menjadi asas kepada penubuhan sebuah badan perundangan yang sempurna yang dinamakan Mailis Negeri (Council Negri) pada 1903.

Zaman Pemerintahan Brooke berakhir pada 24 September 1941 apabila sebuah perlembagaan bertulis yang dinamakan Constitutional Order 1941 digubal sempena Perayaan Ulang Tahun Ke-100 Pemerintahan Brooke. Sejak itu, mesyuarat-mesyuarat Council Negri diadakan di Bangunan Mahkamah, Kuching, dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha.

Pelaksanaan perlembagaan bertulis terganggu semasa kependudukan Jepun pada 1941 . Selepas bebas daripada cengkaman Jepun, Council Negri menjadi arena tumpuan di mana usul penyerahan Sarawak sebagai Koloni British diperbahaskan dengan hangat. Usul itu dilulus walaupun mendapat tentangan hebat.

Berikutan penyerahan Sarawak kepada British, sebuah perlembagaan baru digubal pada tahun 1956 dengan memperuntukkan pertambahan jumlah ahli Council Negri kepada 24 orang Ahli Tidak Rasmi yang dipilih, 14 Ahli Ex-Officio, empat Ahli dipilih melalui sistem 3-Tier System berikutan Pilihanraya Majlis Daerah pada 1959—satu perubahan besar ke arah pemerintahan sendiri.

Selepas pengumuman Konsep Malaysia Raya pada 1961 dan ratifikasi serta perlindungan khas yang dibuat oleh Council Negri terhadap cadangan itu pada 1963, satu perubahan penting dalam perlembagaan dibuat untuk mempastikan Sarawak mempunyai sebuah Dewan Undangan Negeri yang mengamalkan sistem demokrasi penuh serta sebuah kerajaan yang mempunyai sistem Menteri sebelum membentuk Malaysia.

Perlembagaan 1956 telah dipinda untuk menambahkan jumlah Ahli Council Negri daripada 24 kepada 36 orang dengan mengurangkan jumlah Ahli Ex-Officio dan Ahli Yang Dilantik masing-masing kepada tiga orang. Perlembagaan itu turut memperuntukkan sebuah kerajaan yang mempunyai Sistem Menteri buat pertama kalinya dengan sebuah Kabinet Negeri terdiri daripada enam orang Menteri yang diketuai oleh Ketua Menteri.

Pada 31 Ogos 1963, Sarawak menjadi sebuah negeri yang mempunyai sistem pemerintahan  sendiri dengan sebuah Kabinet yang dipilih sepenuhnya. Enambelas (16) hari kemudian (16 September 1963), Sarawak bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura membentuk sebuah negara Malaysia.

Perlembagaan Negeri dipinda lagi pada 1965 untuk memperbesarkan keanggotaan Kabinet Negeri bagi mengandungi seorang Ketua Menteri dan lapan orang Menteri.

Pada 1968, jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri bertambah menjadi 48 orang dengan pemansuhan Ahli Ex-Officio dan Ahli Yang Dilantik.

Keanggotaan Dewan Undangan Negeri kemudian diperbesarkan lagi pada 1985 untuk mengandungi seramai 56 Ahli yang dipilih secara terus oleh rakyat dari 56 kawasan pilihanraya.

Pilihanraya tahun 1996 menyaksikan perkembangan Ahli Dewan Undangan Negeri dengan jumlah Ahli bertambah menjadi 62 orang.

Pada pilihanraya tahun 2006 satu lagi, sejarah yang tercipta di mana Ahli bertambah lagi seramai 71 orang , sekaligus menjadikan Dewan Undangan Negeri Sarawak sebuah Dewan Perundangan yang terbesar di Malaysia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article