Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Pustaka Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan menganjurkan Pertandingan Memancing sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-150 DUN Sarawak.
Pertandingan akan diadakan pada 29 September 2018 bertempat di tasik Pustaka Negeri, Petra Jaya, Kuching.
Sebagai persiapan pertandingan, sebanyak 60 ekor ikan dari pelbagai spesis termasuk udang galah telah dilepaskan ke dalam tasik Pustaka Negeri.
Upacara pelepasan ikan disempurnakan oleh Menteri Muda Pertanian YB Dr. Haji Abdul Rahman Haji Ismail pada 18 September 2018.
Turut hadir ialah Setiausaha DUN Encik Semawi Mohamad dan Pegawai Perikanan Jabatan Pertanian Sarawak Encik Chin Han Kiat.
Menurut Encik Chin, secara keseluruhannya sebanyak 1,000 ekor ikan bakal dilepaskan sebelum pertandingan bermula.
Spesis-spesis ikan yang dilepaskan merangkumi ikan keli, baung, liko, jade perch, jelawat, lampan dan ikan patin.