Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak disarankan agar meneruskan budaya inovasi dan kreativiti serta menghasilkan produk inovasi yang mampu menembusi pasaran global.
Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, jika produk yang dihasilkan oleh rakyat tempatan, khususnya penjawat awam dapat dipasarkan di peringkat global, maka seluruh dunia akan tahu bahawa Sarawak mempunyai bakat-bakat kreatif.
Justeru, beliau berharap supaya produk-produk inovatif tempatan mampu menembusi pasaran global dan sekurang-kurangnya ia menandakan satu pencapaian.
“Saya fikir ini bukan mimpi, ia boleh jadi realiti dan biarlah kita sama-sama terus mempunyai budaya mencipta dan mempunyai teknologi yang terkini bagi kita mendapatkan apa yang harus kita laksanakan utuk kebaikan bukan sahaja untuk rakyat Sarawak dan Malaysia malah juga untuk seluruh dunia.
“Inilah cita-cita kita yang mungkin terlalu tinggi, tetapi biarlah kita mempunyai cita-cita tinggi dan seterusnya bekerja keras untuk mendapatkan satu matlamat yang baik untuk kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2018 pada malam 10 Oktober di Kuching.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Dato’ Haji Mansor Man.
Sebanyak 97 kumpulan dengan penglibatan seramai 785 orang penjawat awam negeri dan persekutuan telah menyertai konvensyen yang berlangsung dari 8 hingga 9 Oktober.
Pemenang Anugerah Inovasi Ketua Menteri yang dibahagikan kepada empat kategori adalah terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan (Kategori Agensi Persekutuan) menerusi projek inovasi ‘Water Rescue Bodies Bag’, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) (Kategori Pihak Berkuasa Tempatan) dengan projek ‘MDL-EZ SLOT’, Pejabat Residen Bahagian Sibu (Kategori Pejabat Residen dan Daerah) dengan projek ‘Sibu Connection Apps’ dan Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang (Kategori Jabatan Negeri) menerusi projek ‘Monitoring of TOL For Resettlement and Extension Scheme System’.
Pemenang bagi setiap kategori masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM5,000 serta piala.