- Advertisement -spot_img
4,805
published news
and counting

Kerajaan Prihatin Tangani Masalah Keciciran Pelajar : Program Khidmat Bantu Dilaksanakan

Must read

Keciciran pelajar atau murid, masalah yang bukan sahaja merugikan seseorang pelajar dan keluarganya, tetapi juga sistem pendidikan negara secara keseluruhan, terutamanya dalam usaha kita melahirkan modal insan yang berkualiti untuk pembangunan negara.

Masalah keciciran murid, sebenarnya telah berlaku sejak sistem pendidikan wujud di negara ini. Sehubungan itu, ia bukannya isu yang baru di negara kita. Namun, masalah itu tidak harus dibiarkan melarat tanpa kawalan kerana ia boleh menjejaskan banyak usaha yang sedang dirancang oleh kerajaan, khususnya hasrat negara untuk mencapai status negara maju.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika masih memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 30 April 2008, telah mendedahkan bahawa lebih daripada 83,000 murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah tercicir daripada sistem persekolahan negara.

Beliau menjelaskan kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Pendidikan dan Latihan di Parlimen.

Berdasarkan statistik Jabatan Pelajaran Sarawak pula, sejumlah kira-kira 3,474 orang murid telah tercicir daripada sistem pendidikan formal di negeri ini iaitu berdasarkan statistik yang dikumpulkan sehingga 31 Julai 2008.

Daripada jumlah itu, seramai 991 orang adalah murid sekolah rendah, manakala sejumlah 2,483 orang adalah mereka yang tercicir di peringkat Sekolah Menengah. Angka yang besar itu telah mengundang pelbagai pandangan serta saranan daripada pelbagai pihak untuk mengelakkannya daripada terus melarat.

Berdasarkan kajian Jabatan Pelajaran Sarawak, terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya keciciran murid di negeri ini. Antara faktor utama ialah murid tidak berminat ke sekolah, murid diberhentikan atau memohon untuk diberhentikan, murid tidak dapat dikesan, berdepan dengan masalah kesihatan, masalah keluarga dan mahu bekerja. Faktor kemiskinan pula dikenal pasti bukan antara penyebab utama yang membawa kepada keciciran seperti yang sering diperkatakan ramai pihak.

Walau apapun pandangan serta kritikan yang dilemparkan, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran melalui Jabatan Pelajaran Negeri, sebenarnya amat prihatin dengan masalah keciciran di kalangan murid.

Murid yang berdepan dengan kemungkinan tersingkir daripada sistem pendidikan formal di sekolah, sebenarnya telah melalui pelbagai prosedur khusus, misalnya, telah menghadiri sesi kaunseling, diberi surat peringatan, telah melaksanakan perjumpaan antara pihak sekolah dengan ibu bapa murid dan sebagainya, sehinggalah tindakan akhir yang tidak diingini terpaksa diterima iaitu murid itu tersingkir daripada sistem persekolahan.

Program Khidmat Bantu

Bagi menangani masalah keciciran murid, banyak program telah dirangka khusus oleh Jabatan Pelajaran Sarawak di negeri ini. Ketika ini, sebuah program yang dikenali sebagai “Program Khidmat Bantu” giat dilaksanakan.

Program ini merupakan integrasi sejumlah 13 buah program yang lebih menjurus kepada pemberian atau penyampaian pelbagai bentuk bantuan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan daripada segi kewangan, serta yang telah memenuhi kelayakan-kelayakan yang ditetapkan untuk menerimanya. Program-program yang dimaksudkan ialah

  1. Bantuan Asrama
  2. Bekalan Jaket Keselamatan
  3. Skim Bantuan Tuisyen (SBT)
  4. Rancangan Makanan Skim Bantuan Tuisyen (RMSBT)
  5. Rancangan Makanan Tambahan (RMT)
  6. Program Susu Sekolah (PSS)
  7. Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM)
  8. Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP)
  9. Biasiswa Kelas Persediaan Universiti (BKPU)
  10. Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT)
  11. Pakaian Seragam Unit Beruniform
  12. Skim Pakaian Seragam Yayasan Sarawak
  13. Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa

Bantuan Asrama
Murid-murid yang disediakan tempat tinggal di asrama, sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah, umumnya adalah tergolong dalam kumpulan murid yang miskin dan harus dibantu.

Pada tahun 2008, sejumlah 490 buah sekolah rendah dengan seramai kira-kira 43,572 orang murid telah mendapat manfaat daripada kemudahan asrama di seluruh Sarawak. Ia membabitkan peruntukan berjumlah kira-kira RM116.4 juta.

Manakala di sekolah menengah pula, ia membabitkan sejumlah 101 buah sekolah yang telah memberi manfaat kepada kira-kira 57,037 orang murid dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM132.26 juta. Bilangan itu menunjukkan bahawa bantuan asrama membabitkan sejumlah 591 buah sekolah dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM248.69 juta pada tahun lalu.

Jumlah peruntukan itu adalah termasuk bantuan makanan bermasak asrama bagi setiap penghuni asrama untuk 250 hari persekolahan. Pertambahan bantuan makanan bermasak selama 20 hari lagi untuk penghuni asrama yang menghadiri peperiksaan pada tahun berkenaan.

Apakah yang melayakkan seseorang murid itu mendapat kemudahan ini? Sebenarnya, ibu bapa atau penjaga murid yang bekerja di kawasan yang berjauhan dari tempat anak-anak mereka bersekolah akan diberikan keutamaan.

Begitu juga dengan murid yang tidak mempunyai saudara mara tinggal berdekatan dengan kawasan sekolah. Walau bagaimanapun, kemudahan ini adalah dikecualikan daripada murid warganegara asing, seterusnya tidak melayakkannya untuk dipertimbangkan menjadi penghuni asrama di sekolah.

Bantuan asrama ini juga disediakan untuk membantu keluarga murid yang sering berpindah-randah, khususnya di kalangan masyarakat Penan di Sarawak. Murid-murid daripada keluarga berkenaan akan diberikan keutamaan mendapatkan bantuan asrama untuk memudahkan mereka mengikuti arus pendidikan perdana negara.

Dalam situasi di Sarawak, masih ramai di kalangan murid yang terpaksa merempuh rintangan ketika dalam perjalanan berulang-alik ke sekolah. Misalnya, berjalan merintangi semak-samun, hutan belukar, jeram atau riam, sungai yang mengalir deras dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan satu persatu. Sehubungan itu, kemudahan asrama yang disediakan oleh kerajaan di sekolah-sekolah yang memerlukannya telah banyak membantu meringankan beban masalah murid-murid ini.

Bekalan Jaket Keselamatan
Keselamatan murid ketika berulang-alik dari rumah ke sekolah tidak boleh dipandang ringan, khususnya di Sarawak. Pada ketika ini, terdapat banyak sekolah yang masih menggunakan pengangkutan air sebagai medium perhubungan yang utama disebabkan faktor fizikal persekitaran.
Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga murid juga sudah tentu berasa risau dengan keselamatan anak-anak mereka ketika menggunakan pengangkutan air sehingga kerajaan melalui Jabatan Pelajaran mengambil inisiatif untuk menyediakan jaket keselamatan untuk murid-murid yang berkenaan.

Pada tahun lalu, sejumlah 536 buah sekolah telah mendapat manfaat daripada bekalan jaket keselamatan yang diagihkan oleh Jabatan Pelajaran Sarawak. Ia membabitkan pengagihan berjumlah kira-kira 22,419 buah jaket keselamatan iaitu berdasarkan permohonan yang diterima dari Pejabat Pelajaran Gabungan (PPG) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) masing-masing di seluruh negeri.

PPD Marudi melibatkan bilangan sekolah terbanyak iaitu 63 buah sekolah kerana kebanyakan sekolah di daerah itu hanya dapat dihubungkan dengan jaringan pengangkutan air. Kemudahan jaket keselamatan ini telah membantu ibu bapa serta murid itu sendiri yang sering berulang-alik menggunakan pengangkutan air untuk ke sekolah.

Skim Bantuan Tuisyen (SBT)
Skim Bantuan Tuisyen (SBT) disediakan oleh Jabatan Pelajaran untuk murid-murid yang menunjukkan tanda-tanda lemah dan memerlukan bimbingan tambahan dalam mana-mana bahagian, subtopik atau topik dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di dalam bilik darjah.
Murid-murid berkenaan merupakan mereka yang telah dipilih oleh guru matapelajaran yang berkenaan.

Kemudahan ini adalah untuk murid di Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan. Walau bagaimanapun, ia hanya dapat dinikmati oleh murid warganegara daripada keluarga berpendapatan RM585.00 ke bawah.

Setiap murid diperuntukkan sejumlah RM360.00 setahun persekolahan, iaitu berdasarkan pengiraan (RM10.00 X 9 bulan X 4 matapelajaran). Pada tahun 2008, sejumlah 72,986 orang murid telah menerima manfaat daripada program SBT yang membabitkan peruntukan berjumlah kira-kira RM27.73 juta.

Rancangan Makanan Skim Bantuan Tuisyen (RMSBT)
Kerajaan juga amat prihatin dengan kebajikan murid-murid ketika menghadiri kelas SBT. Disebabkan SBT diadakan pada waktu petang atau selepas sesi persekolahan biasa, murid-murid pada kebiasaannya tidak akan pulang ke rumah atas faktor masa dan juga jarak ke sekolah.

Sehubungan itu, Jabatan Pelajaran telah memperkenal Rancangan Makanan Skim Bantuan Tuisyen (RMSBT) untuk murid yang layak serta menghadiri SBT di sekolah.

Ia dilaksanakan sekerap dua kali dalam seminggu. Seorang murid diperuntukkan sejumlah RM147.60 untuk satu sesi persekolahan, iaitu berdasarkan pengiraan berikut (RM2.05 X 8 kali sebulan X 9 bulan). Pada tahun 2008, sejumlah 47,684 orang murid telah mendapat manfaat daripada RMSBT yang melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM7.03 juta.

Rancangan Makanan Tambahan (RMT)
Murid yang menunjukkan tanda-tanda salah pemakanan iaitu mereka yang dipilih oleh Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah atau guru darjah dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Khas di peringkat sekolah, adalah layak untuk mendapat manfaat daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Begitu juga dengan murid yang rumahnya jauh dari sekolah yang telah dipilih oleh guru darjah dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Khas di peringkat sekolah.

Sungguhpun demikian, kelayakan yang paling asas diambil kira ialah murid warganegara dari keluarga yang berpendapatan RM400.00 ke bawah serta pendapatan keluarga per kapita RM80.00 ke bawah.

Kebiasaannya, senarai murid yang layak adalah berdasarkan Sistem Maklumat Murid (SMM) yang dilengkapkan di peringkat sekolah.

Setiap murid yang layak akan diberikan peruntukan berjumlah RM389.50 seorang iaitu mengikut pengiraan (RM2.05 X 190 hari). Semua menu makanan yang disediakan di bawah program ini adalah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelaksanaannya pula adalah sebelum waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) dimulakan pada setiap hari.

Pada tahun lepas, sejumlah 922 buah sekolah dengan 78,856 orang murid yang layak telah mendapat manfaat daripada program RMT di Sarawak. Ia membabitkan peruntukan berjumlah kira-kira RM30.71 juta.

Program Susu Sekolah (PSS)
Satu lagi program yang berkaitan dengan pemakanan murid di sekolah ialah Program Susu Sekolah (PSS). Semua murid warganegara daripada keluarga yang berpendapatan RM400.00 dan ke bawah atau pendapatan per kapita sebanyak RM80.00 dan kurang adalah layak untuk menikmati PSS.

Secara amnya, murid yang layak menikmati PSS adalah murid yang sama dalam program RMT seperti yang telah dinyatakan di atas. Kelayakannya juga adalah sama iaitu murid yang menunjukkan tanda-tanda salah pemakanan iaitu mereka yang dipilih oleh Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah atau guru darjah dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Khas di peringkat sekolah.

Begitu juga dengan  murid yang rumahnya jauh dari sekolah yang telah dipilih oleh guru darjah dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Khas di peringkat sekolah.
Setiap murid yang layak diperuntukkan sejumlah RM45.00 iaitu berdasarkan perkiraan (RM1.00 X 45 kotak). Murid yang layak mendapat manfaat daripada program ini akan diberikan susu kotak sekerap dua kali dalam masa seminggu, iaitu pada waktu rehat pada waktu persekolahan.

Sejumlah 78,856 orang murid telah mendapat manfaat daripada PSS pada tahun 2008. Mereka ini datangnya dari 922 buah sekolah di seluruh Sarawak yang membabitkan peruntukan berjumlah kira-kira RM3.54 juta.

Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM)
Menyedari bahawa kemiskinan boleh mempengaruhi prestasi serta minat murid di sekolah, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyalurkan sumber kewangan kepada setiap murid yang layak. Usaha itu dijayakan melalui pelaksanaan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Murid-murid dari keluarga yang berpendapatan bulanan kasar berjumlah RM585 sebulan dan kurang atau per kapita RM117.00 dan kurang bagi negeri Sarawak adalah layak untuk menerima bantuan KWAPM.

Murid sekolah rendah Tahun 1 hingga Tahun 6, murid Tingkatan 1 di sekolah menengah dan semua murid dari etnik Penan adalah keutamaan yang melayakkan mereka menerima bantuan KWAPM.

Bantuan KWAPM melibatkan dua jenis bantuan; Bantuan Persekolahan dan Bantuan Am. Kadar Bantuan Persekolahan bagi murid sekolah rendah ialah RM200.00 seorang manakala Bantuan Am berjumlah RM50.00 X 5 bulan (Fasa 1 dan 2). Bagi murid sekolah menengah pula, kadar Bantuan Persekolahan yang disediakan ialah RM300.00 seorang manakala kadar Bantuan Am adalah RM60.00 X 5 bulan (Fasa 1) dan RM50.00 X 5 bulan (Fasa 2).

Seramai 106,964 orang murid dari sejumlah 1,261 buah sekolah di seluruh negeri ini telah menerima manfaat daripada bantuan KWAPM pada tahun 2008. Ia membabitkan peruntukan berjumlah kira-kira RM59.72 juta.

Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persediaan Universiti (BKPU)
Tidak dinafikan kos kehidupan kita semakin meningkat saban tahun. Anak-anak kita yang masih bersekolah juga tidak terkecuali kerana peralatan persekolahan, tambang bas sekolah, makan minum mereka di sekolah dan sebagainya juga kian meningkat. Berikutan itu, kerajaan telah memperkenal Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dan Biasiswa Kelas Persediaan Universiti (BKPU).

Murid-murid warganegara di sekolah menengah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, serta datang dari keluarga berpendapatan bulanan RM1,000 atau kurang adalah layak untuk dipertimbangkan untuk menerima BKP dan BKPU.

Walau bagaimanapun, mereka hendaklah menunjukkan prestasi akademik yang baik serta aktif dalam bidang kokurikulum di sekolah masing-masing. Kadar pemberiannya kepada setiap murid yang layak adalah berdasarkan jadual di bawah.

Kadar Pemberian BKP II dan III
Tingkatan   Tempoh   Kadar
1 hingga 4  12 bulan   RM840.00 (RM70.00 X 12 bulan)
5    11 bulan   RM770.00 (RM70.00 X 11 bulan)

Kadar Pemberian BKPU
Tingkatan   Aliran   Tempoh  Kadar
6 Rendah  Sastera   7 bulan   RM630.00 (RM90.00 X 7 bulan)
Sains   7 bulan   RM770.00 (RM110.00 X 7 bulan)
6 Atas   Sastera   11 bulan  RM990.00 (RM90.00 X 11 bulan)
Sains   11 bulan  RM1,210.00 (RM110.00 X 11 bulan)

Data seperti pada 30 Jun 2008 Jabatan Pelajaran Sarawak menunjukkan bahawa seramai 21,840 orang murid telah menerima BKP dengan jumlah peruntukan kira-kira RM17.97 juta. Sementara itu, seramai 1,217 orang murid pula menerima BKPU dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM1.26 juta.

Bantuan itu telah membantu murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan serta menunjukkan prestasi akademik serta kokurikulum yang baik untuk meneruskan pendidikan mereka ke tahap tertinggi tanpa perlu banyak memikirkan masalah kewangan.

Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT)
Membeli buku teks melibatkan kos yang agak tinggi. Bayangkan jika seorang anak itu mengambil 10 matapelajaran, bermakna 10 buah buku teks yang perlu dibeli. Itu tidak termasuk buku kerja, buku latihan dan sebagainya.

Namun, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008, semua murid warganegara Malaysia tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak di semua Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Menengah Agama adalah layak untuk menerima bantuan buku teks. Ia berikutan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2007 yang mengandungi pindaan syarat kelayakan meminjam buku teks di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

Sebelum pindaan itu, beberapa perkara diambil kira seperti jumlah pendapatan keluarga serta bilangan anak yang masih bersekolah untuk melayakkan seseorang murid itu menikmati kemudahan SPBT.Namun, setelah mengambil pertimbangan serta saranan pelbagai pihak, dasar kelayakan itu telah dihapuskan oleh kerajaan.
Pada tahun lalu, sejumlah 477,407 orang murid di seluruh Sarawak telah menerima manfaat daripada SPBT. Seramai 272,992 orang murid adalah dari sekolah rendah manakala 204,415 orang adalah murid di kelas Peralihan sehingga Tingkatan 5.

Pakaian Seragam Unit Beruniform
Menyertai pakaian seragam unit beruniform sering kali menjadi rungutan di kalangan ibu bapa kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi. Keadaan itu seterusnya menyebabkan murid dari keluarga berpendapatan rendah kurang berminat menyertai unit beruniform di sekolah seperti  Pengakap, Bulan Sabit Merah, Tunas Puteri, Pandu Puteri dan sebagainya. Disebabkan itu, Jabatan Pelajaran telah memperkenal bantuan pakaian seragam unit beruniform.

Bagi melayakkan seseorang murid menerima manfaat bantuan pakaian seragam, ibu bapa atau penjaganya hendaklah berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan serta merupakan warganegara.

Murid yang layak ialah mereka yang berada dalam Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah, manakala murid kelas Peralihan hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.

Kadar bantuan pakaian seragam itu tidak melebihi RM100.00 seorang dan adalah terhad untuk penyertaan dalam satu pasukan unit beruniform sahaja.

Pada tahun lalu, seramai 218,863 murid yang layak telah menerima manfaat daripada bantuan itu dengan jumlah peruntukan kira-kira RM20.92 juta. Daripada bilangan tersebut, seramai 117,033 orang adalah murid sekolah menengah.

Skim Pakaian Seragam Yayasan Sarawak
Penampilan murid ketika menghadiri sesi persekolahan formal amat penting dan boleh mempengaruhi motivasi serta keselesaan mereka. Berikutan itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak telah bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran untuk menyediakan bantuan pakaian seragam sekolah kepada murid-murid yang layak.
Bantuan yang diberi adalah dalam bentuk pakaian seragam, kasut sekolah dan beg sekolah.
Bantuan pakaian Yayasan Sarawak diberi kepada murid Tahun 1 bagi sekolah rendah dan Tingkatan 1 bagi sekolah menengah. Keutamaan adalah untuk murid yang datang dari keluarga berpendapatan bulanan RM400.00 atau kurang.

Walau bagaimanapun, jika murid itu datang dari kumpulan etnik Penan, mereka akan diberi bantuan sekali setiap tahun sepanjang mereka bersekolah. Semua murid cacat yang belajar di sekolah khas juga akan diberi bantuan pakaian setiap tahun.

Kerajaan juga prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh murid di kawasan pedalaman yang tidak dapat dihubungi dengan pengangkutan awam, sama ada jalan raya atau jalan sungai. Sehubungan itu, semua murid yang datang dari kawasan berkenaan telah diberi bantuan pakaian Yayasan Sarawak.

Seramai kira-kira 33,031 orang murid di Sarawak telah menerima bantuan berkenaan pada tahun lalu. Sejumlah 18,020 orang daripadanya adalah murid sekolah rendah.

Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa
Bagi menangani pelbagai masalah murid dalam pelajaran, keluarga dan peribadi mereka dengan lebih berkesan, Jabatan Pelajaran kini dalam usaha meningkatkan bilangan penempatan Guru Bimbingan dan Kaunseling sepenuh masa di sekolah menengah dan sekolah rendah.
Bagi mencapai sasaran itu, bilangan guru pelatih yang mengambil opsyen Bimbingan dan Kaunseling telah dipertingkat di Institut Perguruan dan Universiti.

Ketika ini jabatan mensasarkan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling bagi setiap 500 orang murid. Pada tahun lalu, sejumlah 177 buah sekolah di Sarawak telah mempunyai Guru Kaunseling dengan sejumlah 436 orang Guru Kaunseling telah ditempatkan. Sementara itu, sejumlah 206 buah sekolah mempunyai Guru Bimbingan dengan sejumlah 262 pengisian Guru Bimbingan.

Dengan adanya kehadiran Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah, Jabatan Pelajaran mensasarkan masalah-masalah yang dihadapi oleh murid dapat ditangani dengan lebih membina seterusnya mengurangkan masalah keciciran murid.

Kesimpulan
Pelbagai strategi berbentuk bantuan dalam Program Khidmat Bantu yang dilaksanakan oleh Jabatan Pelajaran Sarawak seperti yang telah dibincangkan telah membantu mengurangkan kadar keciciran murid. Di samping itu, semua bantuan yang disediakan juga dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih membina serta kondusif bagi murid-murid, khususnya di kawasan luar bandar.

Secara tidak langsung, ia telah membantu merapatkan jurang pencapaian serta akses murid di kawasan luar bandar dengan bandar dalam meniti arus perdana pendidikan negara.

Semua itu adalah bertepatan dengan matlamat yang dicita-citakan oleh negara di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dimulakan pada tahun 2006 dan bakal ke penghujungnya pada tahun hadapan, yang antara lain untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh negara.

Penghargaan kepada Jabatan Pelajaran Sarawak
(Berdasarkan Temuramah Antara RAKAN Sarawak dengan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article